Hina polis jalan tugas pantau Perintah Kawalan Pergerakan, lelaki direman empat hari
Adie Sufian Zulkefli
Mac 22, 2020 12:01 MYT
Mac 22, 2020 12:01 MYT
Seorang mekanik ditahan kerana memuat naik status di media sosial yang mengandungi kenyataan menghina anggota polis yang sedang menjalankan tugas ketika melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, malam tadi.
Lelaki berusia 32 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu jam 9.25 malam.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Ismail Ibrahim berkata, lelaki itu ditahan selepas anggotanya menerima maklumat melalui aplikasi WhatsApp berkaitan status yang memburukkan imej polis di media sosial, petang Sabtu.
Lelaki terbabit memuat naik status bertulis "Beruk Mari Pulok," merujuk kepada anggota polis yang datang ke satu kawasan di daerah ini. Status tersebut menerima banyak komen dari warga internet.
Berikutan itu, berdasarkan maklumat yang diperolehi, anggota polis menyerbu rumah sewa lelaki itu di Taman Desa Murni, di sini, malam tadi.
Berdasarkan siasatan, anggota polis yang gambarnya dimuat naik dalam status lelaki itu, dipercayai pergi ke lokasi itu untuk mengarahkan orang ramai yang berhimpun supaya bersurai, bagi mematuhi PKP yang berkuat kuasa mulai Rabu lalu susulan penularan COVID-19.
Mohd Ismail berkata, suspek hari ini dibawa ke Mahkamah Alor Setar untuk mendapat perintah reman.
Suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 25 Mac untuk membantu siasatan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Muhammad Zulhilmi Latiff.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Mohd Ismail berkata, pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit dan kad sim milik lelaki itu untuk membantu siasatan.
Difahamkan, ini adalah kes ketiga membabitkan tangkapan di Kedah sepanjang PKP, selepas yang pertama di Alor Setar dan kedua di Baling.
#Alor Setar
#Baling
#hina polis
#jenayah
#Jitra
#koronavirus
#Kubang Pasu
#mahkamah
#Mohd Ismail Ibrahim
#perintah kawalan pergerakan
#siasatan
#status media sosial
#suspek