Hina pertandingan Unduk Ngadau: Marcel Jude dibawa ke Mahkamah Anak Negeri

Eleanor Michelle Patrick
Jun 16, 2021 19:49 MYT
Jeffrey berkata, keputusan tersebut dicapai menerusi perbincangan bersama wakil-wakil daripada tiga persatuan Kadazandusun Murut dan Rungus (KDMR). - Gambar fail
KOTA KINABALU: Tindakan Marcel Jude Joseph peguam kepada bekas pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang didakwa menghina pertandingan Unduk Ngadau akan dibawa ke Mahkamah Anak Negeri di sini untuk tindakan lanjut.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata keputusan itu dicapai menerusi perbincangan bersama wakil-wakil daripada tiga persatuan Kadazandusun Murut dan Rungus (KDMR).
"Kita telah mencapai persetujuan atau solidariti tindakan bahawa perkara ini tidak seharusnya berlaku, ia telah terjadi dan peguam terbabit sudah memohon maaf. Oleh itu, permohonan maafnya menjadi asas untuk tindakan lanjut.
"Ini bermaksud bahawa beliau telah mengaku kesalahannya dan oleh itu kita harus selesaikan perkara ini di Mahkamah Anak Negeri," katanya menerusi satu sidang media yang diadakan secara maya, di sini hari ini.
BACA: Samakan Ratu Kaamatan dengan 'persembahan lembu eksotik', peguam minta maaf
BACA: Bekas pemimpin STAR mengaku tidak bersalah cabul peserta Unduk Ngadau
Antara persatuan KDMR ialah Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA), Sabah Murut Association (SMA), dan Persatuan Momogun Rungus Sabah (SAMORA).
Turut hadir dalam perjumpaan itu ialah wakil daripada Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah serta Lembaga Kebudayaan Sabah.
Jeffrey yang juga merangkap Timbalan Presiden KDCA berkata sebagai komuniti tempatan yang mempraktikkan adat dan budaya, mereka sangat terkesan serta mungkin akan mengambil tindakan lanjut melibatkan saman sivil dan Akta Hasutan.
Jelasnya, tindakan itu diambil bagi memastikan perkara ini diselesaikan dan tidak berulang di masa akan datang.
"Tidak ada sesiapa pun boleh menghina budaya dan adat mana-mana masyarakat. Oleh itu, jadikan kejadian ini sebagai pengajaran kepada sesiapa sahaja agar ia tidak berlaku lagi di masa hadapan," katanya.
Cabul Unduk Ngadau | Bekas pemimpin STAR mengaku tidak bersalah
#Marcel Jude Joseph #hina Unduk Ngadau #Jeffrey Kitingan #Timbalan Ketua Menteri Sabah #Pertandingan Unduk Ngadau #permohonan maaf #KDCA
;