Hina Nabi, polis tahan 'Alvin Chow'
Astro Awani
Mac 6, 2019 23:42 MYT
Mac 6, 2019 23:42 MYT
Pemilik akaun Twitter atas nama “Alvin Chow” yang memuat naik status menghina Nabi Muhammad telah ditahan pada Rabu, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Menurut Mohamad Fuzi, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat pada 7 Mac 2019," katanya dalam satu kenyataan media.
Mohamad Fuzi juga mengingatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi dengan memuat naik atau berkongsi kenyataan berbentuk provokasi yang menyentuh sensitiviti mana-mana agama dan kaum di negara ini.
Lelaki berkenaan adalah antara empat yang diburu polis atas dakwaan melakukan kesalahan menghina agama.
Pada Selasa, Fuzi berkata polis sudah menahan tiga orang di Labuan, Sabah; Bau, Sarawak dan Petaling Jaya, Selangor hasil 929 laporan berhubung kes penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad di seluruh negara.
#Alvin Chow
#Kanun Keseksaan
#Ketua Polis Negara
#Mohamad Fuzi Harun
#Nabi Muhammad
#Pemilik akaun Twitter
#Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998