Hina Nabi Muhammad: Laporan polis terhadap Asiah
Bernama
November 16, 2017 07:00 MYT
November 16, 2017 07:00 MYT
Gerakan Belia 4B Kawasan Kuantan membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook bernama Asiah Abd Latif berhubung kenyataannya yang didakwa menghina keperibadian dan keluarga Nabi Muhammad S.A.W.
Pengerusinya Mohd Jalaludin Fikri Jamal berkata kenyataan Asiah yang disedarinya pada pukul 9.40 malam, 12 Nov lalu berhubung hak wanita itu juga dibimbangi boleh memesongkan akidah umat Islam kerana status itu mendapat sokongan pembaca.
"Sebagai seorang Islam, dia (Asiah) tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan sebegitu yang menghina Nabi Muhammad dan membangkitkan kemarahan serta mengguris perasaan umat Islam di negara ini.
"Dia juga dilihat memanipulasi surah dan hadis," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini pada pukul 12.30 tengah hari Khamis.
Turut membuat laporan ialah Anggota Jawatankuasa (AJK) Gerakan Belia 4B Kawasan Kuantan Ahmad Faizal Hazizan dan kedua-dua mereka mahu supaya tindakan diambil terhadap Asiah.
Asiah didakwa telah memuat naik status di akaun Facebooknya pada pukul 8.29 malam, 12 Nov lalu yang mendakwa mengenai wanita Islam sering ditakutkan dengan buruknya status janda di sisi masyarakat sejak zaman nabi.
Pada kenyataan itu, Asiah juga menyentuh ayat 128 surah An-Nisa' dan ayat 5 surah At-Tahrim.
-- BERNAMA