Hina Nabi: Didakwa diri pemilik akaun FB Wendy Loong 'Mamu Parpu' buat laporan polis

Dewi Nur Harasha Alias
Julai 29, 2019 11:59 MYT
Dakwaan yang mula tersebar di laman sosial FB dan Whatsapp sejak semalam adalah tidak benar.
Pemilik akaun Facebook ( FB) Mohsin Abdul Latif atau Mamu Parpu menafikan beliau adalah pemilik akaun FB Wendy Loong yang telah menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Menurutnya, dakwaan yang mula tersebar di laman sosial FB dan Whatsapp sejak semalam adalah tidak benar.
"Mereka menuduh IP Address Wendy Loong sama dengan IP Address saya, tanpa memberitahu apa IP Address Wendy Loong," katanya.
"Lebih menyedihkan apabila ramai yang termakan fitnah ini termasuk peguam Siti Kassim dan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad," katanya ketika dihubungi melalui aplikasi Whatsapp pagi Isnin.
Menurut Mohsin, dia antara individu pertama membuat laporan polis berhubung kenyataan berbentuk penghinaan Nabi Muhammad di FB milik Wendy Loong.
BACA: Jakim dan SKMM bekerjasama pantau aduan hina Islam, Nabi
Susulan itu , Mohsin membuat laporan polis berhubung dakwaan dirinya adalah pemilik akaun FB Wendy Loong .
Laporan dibuat jam 3.30 pagi Isnin di Balai Polis Jalan Patani,Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 483 laporan berhubung kenyataan berbentuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW oleh pemilik akaun Wendy Loong di Facebook.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad, berkata kenyataan berbentuk penghinaan dibuat pemilik akaun itu di Facebook - Kiub Batu Itu Berhala, yang dianggotai kumpulan tertutup.
#Facebook #fitnah #Islam #Khalid Samad #laman sosial #Malaysia #PDRM #polis #Polis Diraja Malaysia #SKMM #WhatsApp
;