Hina Nabi: 3 pengguna media sosial ditahan, seorang masih diburu

Hasimi Muhamad
Mac 5, 2019 15:05 MYT
MOHAMAD FUZI HARUN: Kesemua kes disiasat di bawah Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. -Gambar fail
Gara-gara berkelakuan biadab dengan mengeluarkan kata-kata jelik terhadap Nabi Muhamad SAW, isteri baginda serta agama Islam, polis menahan tiga pemilik akaun Facebook dan sedang giat memburu seorang pengguna Twitter bagi membantu siasatan berhubung kes itu.
Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, mereka ialah pemilik akaun Facebook Bakakuk (Mohd Sharulnizam Stanley Sigan), 29 tahun, yang ditahan di Labuan pada 3 Mac lalu dan direman selama empat hari hingga 7 Mac ini.
“(Individu kedua) Alister anak Cogia (akaun Facebook Yea Yea), 22 tahun, ditahan di Bau pada 4 Mac lalu dan direman selama empat hari hingga 7 Mac ini.
“Manakala Mohd Yazid Kong Abdullah (Facebook Yazid Kong), 52 tahun, ditahan di Petaling Jaya pada 4 Mac dan permohonan reman akan dibuat pada 5 Mac,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, katanya, polis masih mengesan seorang lagi individu dikenali sebagai Alvin Chow Mun Fai (pengguna Twitter @ALVINCHOW33), 43, yang dipercayai berada di Kuala Lumpur.
“Kesemua kes disiasat di bawah Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Jelasnya, tindakan tersebut adalah susulan daripada 929 laporan yang diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari seluruh negara yang mana daripada jumlah tersebut, sebanyak 16 kertas siasatan telah dibuka untuk tindakan lanjut.
Susulan itu, polis menasihati orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi dengan memuat naik atau berkongsi sebarang bentuk provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman.
“Tindakan mencabar atau menghina kepercayaan atau agama mana-mana kaum boleh membangkitkan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini dan perlu dihentikan serta-merta.
“PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak mengendahkan perkara ini,” katanya.
#ALVINCHOW33 #bakakuk #Facebook #hina Nabi #Ketua Polis Negara #Mohamad Fuzi Harun #PDRM #Yazid Kong #Yea Yea
;