Hina mahkamah jika buat tuduhan terhadap keputusan empat hakim
Sinar Harian
April 2, 2023 09:45 MYT
April 2, 2023 09:45 MYT
SHAH ALAM: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menegaskan adalah satu penghinaan terhadap mahkamah sekiranya ada pihak mengatakan empat daripada lima panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak telah dipengaruhi politik.
Pengerusi Bersih, Thomas Fann menegaskan, semua pihak sepatutnya berlapang dada menerima keputusan berkenaan dan perlu memandang ke hadapan.
"Untuk membayangkan bahawa semua hakim yang mengekalkan sabitannya (kes Najib) telah dipengaruhi politik adalah satu penghinaan terhadap integriti badan kehakiman kita.
"Najib telah melalui proses penuh di dalam sistem kehakiman negara, beliau juga telah mendapat khidmat beberapa peguam terbaik di Malaysia untuk membela setiap langkahnya.
"Jadi, sudah tiba masanya untuk kita menerima keputusan itu dan 'move on'," katanya kepada Rasuah Busters.
Dalam pada itu, Thomas berharap keputusan itu dapat dijadikan iktibar kepada pemimpin lain supaya menjalankan amanah dengan sebaiknya.
"Saya berharap dengan sabitan terhadap Najib ini akan menjadi amaran kepada semua mereka yang diamanahkan memegang jawatan tinggi.
"Jalankan tugas dengan amanah terhadap orang ramai tanpa menyerah terhadap godaan untuk memperkayakan diri melalui amalan rasuah," katanya. - Sinar Harian