Hina kaum KDMR dan Unduk Ngadau, Joanna Kitingan buat laporan polis
Abdul Hafiz Mustadi
Jun 2, 2022 19:13 MYT
Jun 2, 2022 19:13 MYT
PENAMPANG: Pengerusi Jawatankuasa Unduk Ngadau Sabah, Joanna Kitingan hari ini membuat laporan polis berhubung tiga hantaran di media sosial Facebook yang berbaur perkauman melibatkan Unduk Ngadau.
Joanna bersama pemenang Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2022, Frenerietta Sobitun membuat laporan itu di Balai Polis Penampang pada jam 2 petang Khamis.
Menurut Joanna Kitingan, perkara itu merupakan sesuatu yang amat memalukan dan sukar untuk diterima bagi masyarakat Kadazan, Dusun, Murut, dan Rungus (KDMR) di negeri itu.
"Saya menerima tangkapan skrin daripada rakan-rakan yang menunjukkan beberapa hantaran dari media sosial berkaitan kaum KDMR yang jijik dan tidak sanggup saya sebut kembali perkataan-perkataan itu.
"Pada pandangan saya, seorang yang baik di dalam beragama tidak akan sesekali melontarkan kata-kata kesat seperti itu. Saya anggap lelaki ini mempunyai masalah mental", katanya lagi.
Tambah Joanna lagi, pihaknya sedang menunggu hasil siasatan pihak polis sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
Pemilik akaun yang menggunakan nama Muhammad Hafiz itu dilaporkan menggunakan kata-kata kesat terhadap kaum Kadazan Dusun dan pertandingan Unduk Ngadau dalam hantarannya, dipercayai bertujuan untuk mencetuskan provokasi dan ketegangan kaum.