Hina Islam: Siti Nuramira dituduh di Mahkamah Sesyen KL pagi ini

Firdaus Azil
Julai 13, 2022 10:10 MYT
Siti Nuramira (tengah) tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, kira-kira jam 9 pagi ini, dalam keadaan bergari. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang didakwa menghina Islam, Siti Nuramira Abdullah, tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, kira-kira jam 9 pagi ini, bagi menghadapi pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Siti Nuramira, yang berbaju kuning dan berjaket hitam, diiringi dua pegawai polis dan dalam keadaan bergari.
Wanita tersebut, didakwa menghina Islam sewaktu membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Kuala Lumpur, akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Semalam, polis mengeluarkan kenyataan menerima arahan untuk menuduh suspek wanita itu mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.
Pada masa sama, menurut polis, teman lelaki Siti Nuramira akan dituduh mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
BACA: Teman lelaki wanita disyaki hina Islam ditahan
BACA: Hina Islam: Belia perlu guna akal, jauhi sifat negatif - Ahmad Faizal
BACA: Tindakan wanita didakwa hina Islam cemar nama Kuala Kangsar - Rani Kulup
Lelaki tersebut, Alexander Navin Vijayachandran, akan berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor, juga pada hari ini.
Sebelum ini, sebuah video berdurasi 54 saat tular di media sosial memaparkan seorang wanita bertudung dan memakai baju kurung mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk al-Quran.
Sewaktu persembahannya, wanita tersebut menanggalkan pakaian yang menutup aurat itu dan hanya meninggalkan pakaian yang menjolok mata serta mengundang pelbagai komen netizen.
Perbuatannya itu telah mendapat sorakan dan gelak tawa dalam kalangan penonton kelab berkenaan.
#Siti Nuramira #Alex Chandran #hina agama #pendakwaan
;