Hina Islam: Belia perlu guna akal, jauhi sifat negatif - Ahmad Faizal
Abd Razak Mohd Ali
Julai 11, 2022 19:37 MYT
Julai 11, 2022 19:37 MYT
IPOH: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menasihatkan golongan belia supaya menggunakan akal fikiran yang waras sebelum berbuat sesuatu.
Di samping itu katanya, mereka juga perlu menjauhi sifat-sifat negatif dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri.
Beliau berpendapat, tindakan seorang wanita yang 'membuka baju' di khalayak ramai baru-baru ini bukanlah sifat manusia yang baik.
"Manusia ini kita mesti ada rasa malu, kalau dah tak ada rasa malu ini, kita dah letakkan diri kita setaraf dengan mahluk-mahluk yang Allah ciptakan yang tidak mempunyai akal. Jadi ini perkara yang perlu kita jauhi.
"Saya harap anak kita yang telah lakukan perkara itu bertaubat, jangan hina agama sendiri, jangan jolok pula perasaan dan hati rakan-rakan lain yang beragama Islam dan kembali lah ke pangkal jalan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis Kenduri Rakyat Aidiladha Perikatan Nasional (PN) Perak di Manjoi pada Isnin.
Kata Ahmad Faizal lagi, golongan belia juga perlu mengambil iktibar daripada kejadian itu dan cuba membaiki diri sendiri.
Pada Sabtu, tular video berdurasi 50 saat memaparkan seorang wanita yang menyatakan telah menghafal 15 juzuk Al-Quran namun secara tiba-tiba membuka pakaiannya satu demi satu sehingga mencolok mata.
Laporan media tempatan menyatakan kejadian dipercayai berlaku di sebuah kelab berunsurkan komedi di sekitar Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Ekoran daripada itu, polis telah membuka kertas siasatan dan wanita berkenaan direman tiga hari untuk membantu siasatan.
Dalam masa sama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil tindakan untuk menggantung segera operasi kelab tersebut.