Hina bendera perbuatan melampau - Mufti Perlis

Salim Aziz
November 26, 2019 07:24 MYT
MOHD ASRI: Jika mereka terlepas, ia menunjukkan bahawa kerajaan tidak serius dalam isu sebegini. - Gambar fail
Melampau dan mesti diambil tindakan.
Demikian tegas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berhubung perbuatan menghina bendera negara oleh pihak yang diberikan kerakyatan.
Menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertanggungjawab, Mohd Asri berkata, kerajaan seolah-olah sedang dipermainkan sekiranya perbuatan menghina negara itu dibiarkan berterusan berlaku.
“Rakyat akan melihat sejauh mana ketegasan kerajaan terhadap golongan yang diberi peluang hidup dalam negara ini tetapi bersikap menghina negara.
"Jika mereka terlepas, ia menunjukkan bahawa kerajaan tidak serius dalam isu sebegini," katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya, pada Selasa.
Katanya lagi, kerajaan perlu bertindak tegas dalam menangani isu ini bagi memastikan pengurusan negara dijamin kedaulatannya.
BACA: "Budak 5 tahun pun boleh tahu.." - Syed Saddiq tidak terima alasan tersilap bendera
BACA: MABA tamat perkhidmatan kontraktor produksi siaran langsung
Pada Isnin malam, tular satu video klip berdurasi 1 minit 42 saat yang memaparkan bendera Malaysia dengan bintang pecah lima dalam satu acara pembukaan perlawanan bola keranjang anjuran Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA).
Klip video yang memaparkan Jalur Gemilang dengan lima bintang bersama logo Westport itu ditayangkan semasa nyanyian lagu Negaraku.
Bagaimanapun, pada Selasa, MABA memohon maaf atas kesalahan yang terpapar di bendera Malaysia sewaktu acara pembukaan Kejohanan Bola Keranjang Milo Lum Mun Chak ke-28 itu.
#bintang pecah lima #hina bendera #hina negara #Jalur Gemilang #laman sosial #MABA #melampau #Mohd Asri Zainul Abidin #mohon maaf #Mufti Perlis #Negaraku #perlawanan bola keranjang #Perlis #tidak bertanggungjawab #video
;