Hina B40: Isu pensyarah, pelajar boleh selesai cara baik - GPMS
Sinar Harian
Mac 30, 2022 12:43 MYT
Mac 30, 2022 12:43 MYT
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sedang berusaha untuk mempertemukan kedua-dua belah pihak berhubung video tular membabitkan salah faham seorang pensyarah dan pelajarnya.
Presidennya, Mohd Alif Anas Mohd Noor berkata, GPMS menyeru agar semua pihak kekal bertenang untuk menyelesaikan isu berkenaan dengan baik.
“Setelah meneliti keseluruhan video berkenaan serta susulan beberapa kajian latar yang dibuat, GPMS berpendapat bahawa isu berkenaan telah menyentuh sensitiviti umum,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, cara beliau (pensyarah) yang dilihat kurang bersimpati dengan keadaan dan kekangan yang dihadapi pelajar berkenaan lebih-lebih lagi sesudah dikongsi latar belakang keluarga adalah dikesali.
“Walau bagaimanapun, GPMS berpendapat kenyataan sesetengah pihak yang mendesak agar diambil tindakan tatatertib sehinggakan ke tahap diberhentikan perkhidmatan adalah keterlaluan, lebih-lebih lagi setelah mengambil kira rekod perkhidmatan baik pensyarah berkenaan mendidik anak bangsa selari dengan matlamat penubuhan UiTM,” jelasnya.
Beliau berkata, UiTM ditubuhkan untuk meningkatkan tahap sosioekonomi bangsa Melayu serta bumiputera dan GPMS percaya pensyarah yang terkait isu ini memahami dengan jelas matlamat penubuhan UiTM.
“Kefahaman ini memungkinkan beliau terdorong untuk memastikan para pelajarnya menjalani sesi pembelajaran dalam keadaan yang baik dan dengan kelengkapan yang mencukupi,” ujarnya.
Sebelum ini, tular rakaman video berdurasi 1 minit 44 saat pada lewat malam Selasa berhubung tindakan seorang pensyarah memarahi seorang mahasiswa yang tidak mempunyai komputer untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan.
Pelajar itu mengaku menggunakan telefon bimbit untuk membuat tugasan menyebabkan pensyarah berkenaan ‘naik angin’ kerana masih tidak mempunyai komputer meskipun sudah berada di semester lima pengajian.
*Berita asal di Sinar Harian