Hina Agong: ADUN Sungai Pelek dibebaskan dengan jaminan polis

Bernama
Oktober 28, 2020 06:59 MYT
Liu (gambar) dilaporkan memuat naik status Facebook yang dibaca: -Now in Bangkok. They Are Saying No to the King-. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek Ronnie Liu Tian Khiew yang ditahan pagi semalam bagi diambil keterangan berhubung kes menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dibebaskan petang semalam.
“Ya, beliau (Liu) telah dibebaskan dengan jaminan polis,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed kepada Bernama.
Terdahulu, dilaporkan Liu ditahan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya bagi membantu siasatan kes itu menurut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada Selasa, Bernama melaporkan Liu merupakan antara empat individu yang disiasat berhubung penghinaan terhadap Seri Paduka Baginda menerusi media sosial.
Liu dilaporkan memuat naik status Facebook yang dibaca: “Now in Bangkok. They Are Saying No to the King”.
Turut dilaporkan polis masih mengesan dua lagi individu bagi membantu siasatan kes itu.
-- BERNAMA
#siasatan #Yang di-Pertuan Agong #media sosial #polis #ADUN #Ronnie Liu Tian Khiew #Huzir Mohamed #Bebas #ambil keterangan #hina Agong #ikat jamin #akta hasutan #Akta Komunikasi dan Multimedia #status Facebook
;