Himpunan Suara Rakyat platform nyatakan idea pembangunan negara kepada PM

Bernama
September 19, 2024 06:00 MYT
Shamsul Iskandar (kanan) menghadiri sesi temu bual bersama hos Sherkawi Jirim pada Program Ruang Bicara bertajuk "Himpunan Keadilan: Menelusuri Suara Rakyat Yang Menjadi Keramat" di Wisma Bernama, pada Khamis. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Himpunan Suara Rakyat, Suara Keramat yang berlangsung malam ini (Jumaat) di Axiata Arena, Bukit Jalil wajar dimanfaatkan oleh orang ramai untuk menyatakan hasrat, aspirasi dan cita-cita mereka mengenai pembangunan negara kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, himpunan bertemakan 'Dari Reformasi ke Malaysia MADANI' itu akan menyediakan papan khas besar untuk orang ramai menulis warkah terus kepada Anwar.
"Saya ajak semua, ayuh gunakan platform himpunan ini esok untuk nyatakan pandangan anda, boleh juga beri kritikan asalkan menulis secara siuman, kerana apa, kerana suara rakyat itu suara keramat yang perlu didengari untuk kita mencorakkan perjalanan negara ini.
"Mungkin dapatan suara rakyat daripada perhimpunan itu nanti akan beri idea kepada Perdana Menteri terutama menjelang pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt nanti, ini yang kita mahukan, pastikan perjuangan ini bukan sekadar cenderung kepada kuasa sahaja tetapi tidak lupa rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara yang disiarkan di saluran Bernama TV malam tadi.
Mengulas lanjut mengenai pengisian program Himpunan Suara Rakyat, Suara Keramat, Shamsul Iskandar berkata, ia akan membawa orang ramai menelurusi perjalanan panjang penuh liku Perdana Menteri dalam satu perjalanan yang digelar 'a long walk to reform'.
"Akan dipersembahkan perjalanan masa, ada pencerita, supaya hadirin faham perjalanan penting kita merealisasikan reformasi, ini mesti dikongsikan kepada rakyat terutama liku-liku dihadapi sosok bernama Anwar Ibrahim dalam melakukan perubahan yang wajar menjadi contoh generasi masa kini.
"Himpunan ini juga akan memberi persepsi yang betul kepada rakyat bagaimana bermulanya gerakan reformasi 26 tahun lepas, atau lebih tepat 20 Sept 1998, sehinggalah terbentuknya kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim yang mendukung gagasan Malaysia MADANI," katanya.
Beliau berkata kemuncak himpunan itu ialah sesi pidato Anwar yang dijadualkan pada 9.45 malam. - BERNAMA
#Himpunan Suara Rakyat #Malaysia Madani #reformasi Malaysia #PM Anwar Ibrahim
;