Himpunan Solidariti Palestin: Mujahid tidak hadir, ada wakil lain ganti - TPM

Firdaus Azil
Disember 21, 2017 18:46 MYT
Pihak jawatankuasa himpunan sudah pun menerima nama lain daripada parti itu sendiri sebagai sebagai pengganti, kata ZAHID
Terdapat wakil daripada Parti Amanah Negara (Amanah) sempena Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Masjid Putra, Putrajaya pada Jumaat ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, walaupun Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dan naibnya Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa membuat kenyataan tidak akan menghadiri himpunan itu, pihak jawatankuasa himpunan sudah pun menerima nama lain daripada parti itu sendiri sebagai sebagai pengganti.
“Ada yang mewakili Amanah…ada yang mewakili PKR. Kita dah ada ganti dia daripada parti mereka yang sama…(jadi) biarlah dia gaduh sama sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kilang pencetakan pasport milik Datasonic Group Bhd di Petaling Jaya, hari ini.
Semalam, sebuah portal berita melaporkan Mujahid sebagai berkata, parti itu bertegas tidak akan menghantar wakil bagi menyertai himpunan itu, atas alasan, ia tiada bezanya dengan tunjuk perasaan yang sudah pakatan pembangkang lakukan beberapa kali sebelum ini.
"Tidak ada bezanya kalau kita buat, dia (Kerajaan Persekutuan) buat lagi bagus tetapi bagi kita, kita tidak akan bersama sebab kita sudah buat dua kali dan akan buat pada kali ke-3, dan 4," kata ahli parlimen Parit Buntar itu lagi.
Salahuddin sebelum ini turut membuat kenyataan tiada wakil Amanah akan hadir atas alasan tiada jemputan diterima daripada pihak penganjur.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mengesahkan sebanyak 250 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk NGO bukan Islam serta parti politik akan menyertai himpunan itu yang turut dihadiri Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak serta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
#Abdul Hadi Awang #Baitulmaqdis #Islam #Najib Razak #NGO #Palestin #Parti Amanah Negara #PAS #PKR #Putrajaya #Salahuddin Ayub #Timbalan Perdana Menteri #TPM #UMNO #Zahid Hamidi
;