Himpunan solidariti bantah tindakan bakar al-Quran di Kedutaan Sweden

Astro Awani
Januari 25, 2023 11:00 MYT
Ahmad berkata, insiden sedemikian seolah-olah mendapat restu daripada kerajaan Sweden atas nama kebebasan, sedangkan ia merupakan langkah provokatif dan menghina agama Islam. -Facebook Ustaz Ahmad bin Yahaya
KUALA LUMPUR: Dewan Ulama Pas Pusat akan menganjurkan satu himpunan solidariti bagi menyuarakan bantahan berhubung penghinaan terhadap agama Islam oleh seorang pemimpin pelampau Sweden baru-baru ini.
Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya dalam satu kenyataan berkata, himpunan solidariti itu akan bermula di KLCC sebelum berarak ke kedutaan Sweden, Jumaat ini.
Jelasnya, sudah tiba masanya umat Islam menyuarakan bantahan keras terhadap kerajaan Sweden kerana membenarkan tindakan membakar al-Quran oleh pemimpin pelampau berkenaan.
"Saya ingin mengulangi gesaan yang dibuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin supaya kerajaan segera memanggil kedutaan Sweden susulan insiden membakar al-Quran di Stockholm, Sweden beberapa hari lalu.
"Saya juga ingin menggesa kerajaan supaya mengusulkan satu mesyuarat tergempar Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) bagi membincangkan tindakan susulan yang lebih meluas melibatkan negara-negara Islam yang lain.
"Setiap ruang diplomatik perlu dioptimum bagi membantah tindakan tersebut dengan tegas," katanya pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, insiden sedemikian seolah-olah mendapat restu daripada kerajaan Sweden atas nama kebebasan, sedangkan ia merupakan langkah provokatif dan menghina agama Islam.
Tegasnya, tindakan membakar al-Quran oleh ahli politik berdarah Sweden-Denmark, Rasmus Paludan itu bukanlah kali pertama berlaku.
"Tahun lalu, tindakan provokasi yang sama telah dilakukan sehingga mendorong kebangkitan daripada umat Islam.
"Paludan menyasarkan bandar-bandar yang didiami oleh umat Islam seperti Linkoping, Malmo dan Stockholm sendiri.
"Lebih mendukacitakan adalah reaksi Kerajaan Sweden lebih bimbangkan keganasan yang bakal tercetus selepas insiden tersebut, bukan sebaliknya mencegah langkah membakar al-Quran itu terlebih dahulu.
"Oleh itu, sewajarnya kerajaan menyuarakan amaran yang tegas ini melalui jalan diplomatik yang ada.
"Kita tidak boleh berkompromi dengan sebarang insiden provokatif apatah lagi menghina kesucian agama Islam," ujarnya.
Sabtu lalu, pemimpin berhaluan kanan parti Stram Kurs itu membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye selepas mendapat permit kerajaan Sweden dengan dikawal ketat pasukan polis.
Perbuatan biadab Paludan itu menyebabkan Turkiye bertindak balas membatalkan lawatan Menteri Pertahanan Sweden, Pal Jonson ke negara berkenaan.
Beberapa negara Islam lain juga mengecam perbuatan biadap pemimpin yang turut memiliki kerakyatan Denmark itu sebagai provokasi kebencian amat melampau.
#Dewan Ulama PAS Pusat #solidariti bantah penghinaan terhadap Islam #Ahmad Yahaya #bakar al-Quran
;