Himpunan Selamatkan Malaysia: Premis perniagaan dibuka seperti biasa
Sinar Harian
September 16, 2023 12:45 MYT
September 16, 2023 12:45 MYT
KUALA LUMPUR: Keadaan premis perniagaan dan penjaja di sekitar kawasan Masjid Jamek Kampung Baru dibuka seperti biasa tanpa ada sebarang gangguan daripada mana-mana pihak.
Berdasarkan pemerhatian Sinar Harian, rata-rata peniaga masih membuka kedai dan menerima pelanggan walaupun terdapat Himpunan Selamatkan Malaysia sejak awal pagi tadi.
Selain itu, keadaan trafik juga terkawal dan orang ramai dapat melakukan urusan seperti biasa.
Dalam pada itu, pasukan polis dilihat mula membuat kawalan di pekarangan Masjid Jamek Kampung Baru susulan Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang akan berlangsung pada Sabtu.
Pasukan polis yang terdiri lebih dari 20 anggota itu dilihat mula tiba pada jam 11.40 pagi sebelum mula berbaris di sekitar perkarangan masjid berkenaan.
Kemudian, turut dilihat ahli jawatankuasa masjid mula mengunci pintu utama pagar masjid pada jam 11.50 pagi.
Pada Jumaat, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari berkata, mereka tidak akan berganjak dengan keputusan untuk mengadakan Himpunan Selamatkan Malaysia yang dijadualkan berlangsung di ibu negara.
Ujarnya, ketetapan itu dibuat dengan mengambil kira polis telah menerima notis penganjuran perhimpunan tersebut. - Sinar Harian