Himpunan #Reformasi100peratus bukan demonstrasi besar - Pengerusi Bersih

Irfan Faruqi
Februari 25, 2024 15:55 MYT
Faisal berkata aksi berarak ke Parlimen Selasa ini bertujuan menyegarkan kembali momentum kesedaran rakyat mengenai agenda reformasi.
KUALA LUMPUR: Perhimpunan #Reformasi100peratus yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 27 Februari bukan demonstrasi besar-besaran.
Menurut pengerusinya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, aksi berarak ke Parlimen ini bertujuan menyegarkan kembali momentum kesedaran rakyat agar harapan pelaksanaan agenda reformasi terus hidup.
“Aksi yang kita lakukan pada Selasa ini bukan Bersih keenam atau demonstrasi besar-besaran. Ia adalah permulaan kepada tuntutan kita kepada Ahli Parlimen dan pemerintah agar melaksanakan agenda reformasi 100 peratus.
“Aksi pada Selasa ini lebih kepada aksi tunjuk rasa untuk bina momentum kesedaran rakyat dan desakan kepada kerajaan bersama Ahli Parlimen agar tidak lupa agenda reformasi. Ini bukan suatu pengakhiran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual dalam Buletin AWANI pada Ahad.
Mengulas mengenai tahap kesedaran rakyat mengenai isu-isu reformasi institusi yang dilihat kian luntur, Faisal berkata kelelahan politik dalam kalangan orang awam ini adalah lanjutan daripada pengkhianatan mandat rakyat yang berlaku pada tahun 2020.
“Akibat Langkah Sheraton dan pengkhianatan mandat rakyat, menyebabkan berlakunya perubahan dalam momentum rakyat untuk menuntut reformasi. Ia diterjemahkan dalam bentuk kelelahan politik rakyat untuk mengharapkan reformasi.
“Oleh itu, sebaik sahaja saya dilantik sebagai Pengerusi, perkara pertama yang saya lihat ialah kepentingan untuk membina momentum dan mengembalikan kepercayaan rakyat bahawa harapan untuk kita melihat reformasi itu boleh terlaksana.
“Perdana Menteri tidak pernah menolak untuk melaksanakan agenda reformasi. Harapan masih ada,” ujarnya.
Jelas Faisal, menerusi perhimpunan kali ini, Bersih menuntut dua perkara utama iaitu reformasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan melibatkan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat dalam pemilihan pengerusi badan tersebut.
Selain itu, Bersih mendesak agar pemberian penghakiman lepas tanpa bebas (DNAA) kepada kes-kes berkepentingan awam dihentikan.
BERSIH desak #Reformasi100Peratus
#Bersih #Suruhanjaya Pilihan Raya #Parlimen #Reformasi100peratus
;