Himpunan Rakyat Bersatu: Provokasi berterusan dipercayai punca meriam air dilepaskan

Harits Asyraf Hasnan
September 16, 2015 01:48 MYT
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.40 petang itu menyaksikan peserta yang enggan bersurai lari bertempiaran. -Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Provokasi berterusan peserta Himpunan Rakyat Bersatu dipercayai punca Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan tembakan meriam air ke arah mereka berhampiran Jalan Petaling.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.40 petang itu menyaksikan peserta yang enggan bersurai lari bertempiaran.
Sebelum itu, satu insiden berlaku apabila seorang peserta cedera di kepala selepas dibaling dengan objek keras dipercayai batu.
Sekitar pukul 4.35 petang, FRU tiba dan membunyikan loceng amaran sebelum bertindak menyembur air ke arah peserta.
Peserta yang mula berkumpul di hadapan pintu gerbang Jalan Petaling sejak pukul 1.30 petang memaksa polis membuka laluan untuk mereka memasuki 'pekan cina' itu.
Dalam pada itu, kenyataan polis pada Rabu malam menyebut bahawa dua orang telah ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan.
Jalan Tun Tan Cheng Lock yang ditutup sejak pukul 1.30 petang dibuka semula pukul 8 malam.
#FRU #Himpunan Rakyat Bersatu #meriam air #Petaling Street #provokasi
;