Himpunan Pembebasan Palestin: Laungan "Bebaskan Palestin" bergema di Axiata Arena

Bernama
Ogos 4, 2024 11:46 MYT
Peserta perhimpunan dilihat mengibarkan bendera Palestin dan sepanduk tanda sokongan kepada negara itu pada Himpunan Pembebasan Palestin yang akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Axiata Arena hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Laungan 'Bebaskan Palestin' dan 'Israel Bacul' bergema di sekitar Axiata Arena, Bukit Jalil di sini apabila peserta mula tiba bagi menghadiri Himpunan Pembebasan Palestin.
Pada 6.20 petang tadi, orang ramai yang hadir berpakaian serba putih sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin mula memenuhi segenap ruang di dalam Axiata Arena selepas dibenarkan masuk dengan terlebih dahulu perlu melalui pemeriksaan keselamatan.
Semangat solidariti peserta himpunan juga terserlah dengan masing-masing hadir membawa dan mengibarkan bendera Palestin dan Jalur Gemilang, selain pelbagai sepanduk tertera kata-kata sokongan dan doa buat mereka yang terkesan situasi di Gaza.
Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kira-kira 20,000 orang dijangka hadir bagi menzahirkan sokongan mereka kepada rakyat Palestin.
Himpunan Pembebasan Palestin antara lain bertujuan menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh, sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis yang tidak berkesudahan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan pidato pada acara kemuncak himpunan untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin, bersama-sama beberapa pemimpin lain.
Antara program yang diatur ialah Pidato Solidariti Palestin, solat maghrib berjemaah, sesi tayangan video khas dan diakhiri dengan doa Qunut Nazilah.
-- BERNAMA
#himpunan pembebasan palestin #Bebaskan Palestin #Israel Bacul #Axiata Arena