Himpunan Hijau mahu serah petisyen kepada Agong bantah operasi Lynas
Aizat Sharif
September 17, 2013 20:00 MYT
September 17, 2013 20:00 MYT
Jawatankuasa Himpunan Hijau yang membantah operasi kilang memproses nadir bumi, Lynas berhasrat untuk menyerahkan petisyen bantahan mereka kepada Yang Di Pertuan Agong andainya mereka berjaya mengumpulkan satu juta tandatangan.
Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack berkata mereka akan ke Istana Negara untuk menyerahkan petisyen itu apabila tandatangan yang dikumpulkan itu berjaya mencecah satu juta.
“Hari ini merupakan hari ke-25 dan sehingga kini kami berjaya mengumpulkan sebanyak lebih 800,000 tandatangan dari keempat-empat ‘stesen’ informasi Himpunan Hijau yang berada di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Johor Bahru,” kata Wong Tack dalam satu sidang media di Dataran Merdeka.
Menurut beliau, ‘stesen’-‘stesen’ informasi Himpunan Hijau seperti yang berada di Jalan Raja telah berjaya menarik ramai masyarakat untuk menyokong perjuangan mereka dalam membantah operasi kilang yang didakwanya akan mencemarkan dan membahayakan alam sekitar dengan sisa radioaktif.
“Tandatangan petisyen ini bukan sahaja kami perolehi di Kuala Lumpur tetapi di seluruh negara dan mereka yang menyokongnya juga datang dari pelbagai latar belakang masyarakat,” katanya lagi.
Beliau menjangkakan sasaran tandatangan satu juta itu mampu dicapai dalam sedikit masa lagi.
Ketika ditanya samada Himpunan Hijau akan melakukan sebarang perhimpunan atau perarakan ke Istana Negara ketika menyerahkan petisyen tersebut, beliau berkata, perkara tersebut masih belum difikirkan lagi.
“Kami belum memikirkan mengenai hal itu lagi namun apa yang penting bagi kami dan semua rakyat Malaysia adalah untuk mencapai sasaran satu juta tandatangan dan kemudiannya akan diserahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong untuk perkenan sokongan tuanku dengan usaha murni kami ini,” kata Wong Tack.
‘Stesen’ informasi Himpunan Hijau yang berhadapan dengan bangunan lama Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di Jalan Raja itu telah didirikan pada 24 Ogos setelah kempen mengumpulkan satu juta tandatangan dilancarkan pada 1 Ogos lalu.
Meskipun didakwa menghadapi pelbagai masalah dengan pihak berkuasa tempatan, ‘stesen’ tersebut akan beroperasi selama 24 jam dan tujuh hari seminggu.
Sukarelawan Himpunan Hijau akan sentiasa berada di ‘stesen’ tersebut dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai mengenai usaha mereka tersebut.