Himpunan Hari Bertindak Global: Jangan biar AS matikan nilai kemanusiaan - Tian Chua
Hasimi Muhamad
Januari 13, 2024 13:23 MYT
Januari 13, 2024 13:23 MYT
KUALA LUMPUR: Tian Chua menegaskan dunia tidak boleh membiarkan Amerika Syarikat (AS) ‘mematikan’ nilai kemanusiaan susulan kekejaman berterusan Israel terhadap rakyat Gaza.
Berucap di hadapan ribuan peserta Himpunan ‘Hari Bertindak Global’, bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat itu turut mendesak agar rakyat Malaysia terus bersuara tanpa mengira latar belakang agama.
“Kita rakyat Malaysia baik kerajaan atau bukan, kita telah menyatakan pendirian tegas.
“Kita tolak kezaliman, penjajahan dan aparteid. Kerana itu, rakyat Malaysia harus bangkit.
“Tidak cukup Perdana Menteri berucap, tidak cukup Ahli Parlimen bekerja, setiap rakyat Malaysia harus berdiri sehingga Palestin dibebaskan,” katanya di sini pada Sabtu.
Beliau berucap dalam Himpunan ‘Hari Bertindak Global: Gencatan Senjata Sekarang, Hentikan Perang di Gaza’ yang berlangsung berhampiran Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak.
Mengulas lanjut, Chua juga memuji sikap berani ditunjukkan oleh Afrika Selatan yang mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tuduhan genosid terhadap rakyat Palestin.
“Ini menunjukkan perjuangan Afrika Selatan yang pernah dijajah dan ditindas, jadi negara itu tidak akan benarkan orang Palestin menderita,” tambah beliau.
Afrika Selatan memfailkan kes pada Disember, menuduh Israel melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza dan meminta ICJ mengeluarkan langkah sementara untuk melindungi rakyat Palestin, termasuk menyeru Israel segera menghentikan serangan.
Israel telah membunuh lebih daripada 23,000 rakyat Palestin di Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu dengan ramai daripadanya dalam kalangan kanak-kanak dan kaum wanita.
Himpunan ‘Hari Bertindak Global: Gencatan Senjata Sekarang, Hentikan Perang di Gaza’ dianjurkan dengan kerjasama lebih 30 pertubuhan pro-Palestin, berlangsung serentak di sekurang-kurangnya 78 ibu kota di seluruh dunia.