Himpunan Bersih terkawal, enam Ahli Parlimen terima memorandum
Faris Danial Razi
Februari 27, 2024 11:00 MYT
Februari 27, 2024 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Reformasi 100 Peratus anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang diadakan di Plaza Tugu Negara pada pagi ini berlangsung dalam keadaan terkawal dan tiada berlaku sebarang provokasi.
Dianggarkan lebih 60 peserta yang majoriti memakai pakaian berwarna kuning dan hitam mula berkumpul seawal jam 8 pagi dan memulakan perarakan dari Plaza Tugu Negara menghala ke Bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum.
Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) antara Ahli Parlimen yang menerima memorandum di hadapan pintu masuk Bangunan Parlimen memaklumkan pihak kerajaan komited dalam memenuhi tuntutan yang dibuat oleh Bersih dan rakan-rakan badan bukan kerajaan yang lain.
Katanya, beliau yang mewakili blok kerajaan akan turut menggunakan peluang ini untuk mengetengahkan hal-hal yang dibangkit oleh rakan Bersih dan rakyat Malaysia.
“Pada perbahasan kali ini, kami akan memastikan perbahasan yang berkualiti dan tuntutan-tuntutan ini akan cuba kami suarakan.
“Namun begitu saya ingin mengingatkan bahawa, untuk melaksanakan reformasi tidak mengambil masa yang singkat, kerajaan perlukan masa yang penuh kerana banyak pertimbangan yang harus kita perhatikan.
“Tetapi, saya yakin dan percaya bahawa kerajaan hari ini sedang menuju ke arah itu dan saya mohon kesabaran daripada anda semua dan Insya-Allah usaha ke arah itu sedang pun dijalankan dan sedang berlaku,” ujarnya.
Antara Ahli Parlimen lain yang turut hadir bagi menerima memorandum berkenaan adalah Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar), dan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) dan William Leong Jee Keen (PH-Selayang).
Terdahulu, Pengerusi Bersih Mohd Faisal Abdul Aziz menjelaskan bahawa perarakan yang diadakan hari ini bukan Bersih 6.0 atau demonstrasi besar-besaran.
Katanya, ia adalah permulaan kepada tuntutan mereka terhadap Ahli Parlimen dan pemerintah agar melaksanakan agenda reformasi 100 peratus.
Antara tuntutan utama Bersih adalah, mendesak agar pemberian penghakiman lepas tanpa bebas (DNAA) kepada kes-kes berkepentingan awam dihentikan dan menolak undang-undang dua darjat.
Bersih pada masa sama menggesa agar tuntutan ini dipandang serius oleh semua Ahli Parlimen terutama backbenchers dalam berterusan mendesak pelaksanaan reformasi dalam negara.