Himpunan anti-ICERD: Ironik dan kronik
Kenyataan Media
Disember 7, 2018 11:32 MYT
Disember 7, 2018 11:32 MYT
BERHIMPUN untuk menyatakan sesuatu adalah fitrah manusia, Allah juga menghimpun manusia untuk menyatakan kekuasaanNya di padang mashar kelak. Hari Perhimpunan adalah nama yang diberikan selain Hari Akhirat.
Perhimpunan manusia sesama manusia lebih kepada menyatakan sokongan atau tidak menyokong sesuatu isu. Selain itu ada juga perhimpunan yang sekadar berseronok untuk menikmati sesuatu atau sekadar lepak ramai-ramai. Bahasa politik untuk berhimpun untuk tujuan politik disebut sebagai demonstrasi atau 'demo'. Ungkapan lebih tepat memenuhi tujuan berhimpun itu ialah 'unjuk rasa' atau tunjuk perasaan.
Berpandukan kepada makna perhimpunan di atas, bolehlah kita memahami perhimpunan anti ICERD 8 Disember ini dengan memberi keadilan kepada analisa tujuan, sebab dan hasil yang ingin dicapai.
Sebelum itu perlu dijelaskan bahawa hak berhimpun dijamin oleh perlembagaan dan kerajaan. Malaysia Baru mempunyai komitmen untuk mempertahankannya sedaya mungkin selagi jaminan keselamatan negara dan hubungan antara kaum tidak terjejas.
Soalannya ialah apakah tujuan perhimpunan anti ICERD dianjurkan? Ada banyak versi, yang awal ialah membantah kerajaan meratifikasikan ICERD, menyelamatkan Melayu dan Islam yang dihina, mendaulatkan kedudukan Raja-raja Melayu dan ada juga untuk memberi pengajaran kepada kerajaan Pakatan Harapan.
Banyak lagi versi tujuan dianjurkan perhimpunan pada 8 hari bulan ini tetapi versi yang ada lebih menimbulkan persoalan daripada cuba memahami tujuan.
Persoalan pertama mengapa hendak berdemo sedangkan tidak timbul kerajaan akan meratifikasikan ICERD. Tujuan seterusnya tidak relevan sebab kalau logiknya kerajaan tidak ratifikasi maka semua kebimbangan tidak terpakai lagi seperti kedudukan Melayu/ Islam dan Raja-raja Melayu. Jadi apa tujuannya?
Demo kalau skala kecil pun perlu ada sebab supaya masa tenaga dan wang ringgit tidak dibazirkan. Sebab berdemo jika hendak buktikan kekuatan Melayu/Islam perlulah ada alasan apakah Melayu/Islam lemah?
Dakwaan lemah hanyalah satu persepsi yang cuba memerangkap minda orang Melayu agar sentiasa rasa tidak selamat dan tidak percaya pada diri sendiri dengan menuduh kaum lain berkonspirasi.
'Dendangan' Melayu terancam ini bukan baru malah berkarat dalam minda sesetengah Melayu dan setiap kali Melayu memilih jalan ke hadapan, mereka akan diheret ke teori 'ancaman' ini. Kalau inilah sebab perhimpunan maka ia umpama radio lama yang cuba dimainkan semula buat sekian kali. Berbaloikah?
Soalan akhir ialah apakah hasil yang dikehendaki dari perhimpunan anti ICERD ini? Di sini terserlah ironinya yang paling kronik kerana perhimpunan ini mengirimkan mesej yang silap kepada orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia umumnya.
ICERD adalah komitmen kepada memerangi perkauman yang mewajarkan penindasan kepada kaum lain. Dalam nada yang sama kelompok anti ICERD mengulangi pendirian bahawa orang Melayu tidak menindas kaum lain di negara ini.
Dua kontradiksi yang mewajarkan kekeliruan mereka. Pertama, orang Melayu seharusnya mengirim mesej bahawa mereka bukan pengamal perkauman justeru tidak perlulah menentang ICERD sebab ICERD adalah anti perkauman walaupun kita tidak meratifikasinya.
Kedua, jika tiada penindasan di Malaysia mengapa berhimpun menentang ICERD yang bertujuan menolak penindasan kaum? Dengan kata lain mereka akan berhimpun menolak sesuatu yang mereka bukan pelakunya.
Sepatutnya yang berhimpun anti ICERD ialah penindas kaum dan pentaksub kaum yang tidak mahu amalan mereka disekat dengan perjanjian ini. Bukankah ini ironik yang kronik???
Kalaulah perhimpunan 8 Disember ini penuh dengan kekeliruan maka potensi ia diisi dengan motif lain yang membahayakan masyarakat berbilang kaum tidak boleh dipandang remeh.
.
Kalau begitulah realitinya, maka anti ICERD hanyalah alasan untuk mencapai tujuan sempit lain yang mereka sahaja mengetahuinya. Malangnya ramai yang akan diheret dalam kekeliruan ini dan untuk itu sekali lagi saya bertanya : "himpunan anti ICERD untuk apa sebenarnya?"
Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden Amanah
MP Parit Buntar
Menteri di JPM (Agama)
7 Disember 2018