Himpunan 812 ibarat perkembangan politik yang bahaya -Lim Guan Eng

Dania Zainuddin
Disember 9, 2018 16:56 MYT
"Penganjur seolah-olah membesar-besarkan isu yang tidak wujud kerana kerajaan sudah menolak ratifikasi tersebut," kata Guan Eng.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan Perhimpunan Kesyukuran Penolakan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) sebagai satu perkembangan politik yang bahaya.
Katanya, penganjur seolah-olah membesar-besarkan isu yang tidak wujud kerana kerajaan sudah menolak ratifikasi tersebut.
"Ini satu perkara yang tidak boleh diambil ringan, kerana untuk 'survival' politik mereka, mereka tidak ada pilihan lain kecuali gunakan permainan sentimen dan politik perkauman dan agama.
"(Mereka) menyatakan diancam sungguhpun tidak ada bukti diancam.
"Sehingga bila Kerajaan Persekutuan sudah umumkan bahawa ICERD tidak akan diratifikasi, mereka masih buat demonstrasi dan protes," kata Guan Eng ketika berucap di Konvensyen DAP Selangor di sini, pada Ahad.
"Ini perkembangan politik yang bahaya, sehingga dalam ucapan dan mereka menyatakan ada ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) yang bukan berbangsa Melayu mendapat manfaat yang lebih banyak dan mereka tidak berpuas hati.
BACA: Ada apa dengan Himpunan 812?
GALERI FOTO: Himpunan 812
LAPOR LANGSUNG: 55,000 banjiri Himpunan 812
"Ini perkembangan yang tidak sihat, kerana mereka lupa mengenai Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah.
"Mereka bukan Melayu kah? Mereka bukan beragama Islam?" kata Guan Eng.
Beliau turut mengulas tentang desakan Malaysia untuk keluar dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam perhimpunan tersebut yang disifatkan sebagai penggunaan sentimen melampau.
"Kita sebagai sebuah negara demokrasi kita benarkan perhimpunan secara aman. Tapi saya juga terkejut dengan ucapan semalam, iaitu untuk jahanamkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
"Sekiranya kita nak keluar dari PBB, Malaysia akan jadi satu-satu negara yang bukan ahli PBB. Korea utara pun jadi ahli PBB.
"Jadi saya tidak faham lah, mereka nak mainkan sentimen sampai ke tahap yang melampau sekali," katanya.
Sebelum ini, pemimpin Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ketika berucap di perhimpunan tersebut dilaporkan 'menyerang' PBB dengan mendakwa pertubuhan itu mempengaruhi hala tuju negara.
#Azizah #DAP #Himpunan 812 #ICERD #Islam #kerajaan #Korea #Korea Utara #Lim Guan Eng #Mahathir Mohamad #Malaysia #Melayu #menteri #Parlimen #PBB #Perdana Menteri #perhimpunan #politik #protes #Tajuddin Abdul Rahman #Timbalan Perdana Menteri #UMNO #Wan Azizah
;