'Hilangnya' Jalur Gemilang di pintu sempadan

Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli
Januari 15, 2018 09:11 MYT
"Apabila pengunjung melewati pagar dan masuk ke Malaysia, bendera Malaysia dikibarkan hanyalah secara sekadar ala kadar." - Dr. Mohd Hazmi
MALAYSIA adalah sebuah negara yang terletak di tengah-tengah Asia Tenggara yang mempunyai sempadan darat langsung bersama Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia. Antara kesemua negara-negara ini, Malaysia mempunyai pintu sempadan darat (dan juga sungai) terbanyak dengan Thailand. Lapan pintu tersebut ialah pintu Wang Kelian-Wang Prachan dan Padang Besar di Perlis, Bukit Kayu Hitam-Dannok dan Durian Burung-Ban Prakob di Kedah, Pengkalan Hulu-Betong di Perak, dan Bukit Bunga-Bu Ke Ta, Rantau Panjang-Sungai Golok dan Pengkalan Kubor-Tak Bai di Kelantan.
Sempadan Malaysia-Thailand hari ini pada awalnya telah ditetapkan oleh Kerajaan British dan Siam pada tahun 1909 menerusi Perjanjian Bangkok. Menerusi Perjanjian 1909 ini, garis sempadan sepanjang 646km telah dilukis dari Barat ke Timur, dari Perlis ke Kelantan, memisahkan wilayah-wilayah selatan Thailand, Pattani, Yala dan Narathiwat daripada wilayah-wilayah rumpun mereka di Kelantan dan Terengganu. Wilayah Setul dipisahkan dari Kedah dan Perlis dan menjadi provinsi Satun pada hari ini.
Garis sempadan darat yang dilukis adalah sejauh 551km dengan 95km lagi menggunakan aliran Sungai Golok sebagai garis sempadan antarabangsa. Garis sempadan darat yang dilukis antara pihak British-Siam secara dasarnya menggunakan lembangan air atau watershed sebagai sempadan antara kedua-dua wilayah.
Tidak keterlaluan untuk menyatakan sempadan yang dilukis oleh British dan Siam ini lebih menguntungkan pihak Thailand. Sultan-sultan Melayu tidak dilibatkan dalam melukis garis sempadan ini pada tahun 1909. Sebagai contoh, apabila garis lurus ke arah timur dilukis dari Kedah dan Perlis, ianya akan sejajar dengan wilayah Yala, Pattani, Narathiwat dan Songkhla dan bukannya bersempadanan langsung dengan Kelantan. Ini menyebabkan Tanah Melayu pada tahun 1909 kehilangan wilayah-wilayah selatan Siam yang bermajoriti penduduk Melayu sehingga hari ini.
Sekiranya dahulu pihak British dan Siam menggunakan titik paling utara di Perlis dan melukis garis lurus dari titik itu ke barat dan timur, nescaya wilayah Tanah Melayu akan menjadi lebih besar, seperti yang digambarkan di dalam Peta 1 di bawah. Ini semua adalah sebahagian daripada sejarah dan wilayah Semenanjung Malaysia yang kita warisi pada hari ini adalah tinggalan daripada wilayah British Malaya yang merdeka pada tahun 1957.
Kita harus sedar bahawa negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia adalah cuma sebahagian daripada apa yang patut menjadi wilayah negara kita pada hari ini. Oleh itu, kerajaan dan rakyat perlu berganding bahu menjaga keutuhan dan kedaulatan negeri-negeri ini dengan baik.
Pintu sempadan darat antarabangsa adalah tanggapan ulung mana-mana pengunjung yang melewatinya. Lambang-lambang seperti bendera dan jata negara menggambarkan kedaulatan sesebuah negara yang boleh disaksikan oleh mana-mana pengunjung saat mereka melintasi garis sempadan antarabangsa dari satu negara ke negara yang lain.
Pergilah sahaja ke pintu sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar ataupun Bukit Kayu Hitam-Dannok. Para pengunjung akan dapat menyaksikan bendera Thailand berkibar megah betul-betul di Kilometer 0 garis permulaan wilayah negara tersebut. Di Dannok contohnya, potret Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn terpampang dengan kebanggaan dan bendera kebangsaan Thailand berkibaran tepat di wilayahnya tetapi hanya beberapa langkah seberang, tidak kelihatan Jalur Gemilang dikibarkan di wilayah Malaysia.
Keadaan yang sama dapat dilihat di pintu sempadan Padang Besar yang mana jata negara Thailand terukir indah di Bangunan Imigresen dan Kastamnya dengan Bendera Thailand tinggi berkibar melambangkan kedaulatan negaranya di wilayah itu, yang hanya beberapa inci sahaja dari Malaysia.
Akan tetapi, apabila pengunjung melewati pagar dan masuk ke Malaysia, bendera Malaysia dikibarkan hanyalah secara sekadar ala kadar. Ini amat menyedihkan terutama sekali apabila lambang-lambang kedaulatan negara tidak diketengahkan di pintu-pintu sempadan ini.
Malaysia tidak mungkin kehilangan wilayah-wilayah ini sepertimana kita kehilangan Batu Puteh kerana Malaysia telah melaksanakan apa yang dikatakan pendudukan efektif ataupun effective occupation seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang antarabangsa di kawasan-kawasan sempadan ini. Pihak polis dan tentera kita sering melakukan rondaan bagi mengelakkan berlakunya penerobosan. Masyarakat antarabangsa juga telah mengiktiraf negeri-negeri ini sebagai sebahagian daripada Malaysia.
Tetapi ini tidak bermaksud kita hanya perlu mengambil langkah sambil lewa dalam mengetengahkan lambang-lambang kedaulatan negara kita di pintu-pintu masuk sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand. Janganlah hanya apabila kita kehilangan sesuatu barulah waktu itu kita akan menghargainya dan terhegeh-hegeh untuk memancangkan bendera.
Pintu sempadan antarabangsa adalah lambang keutuhan kedaulatan negara kita dan haruslah kita hiasi dengan simbol-simbol kedaulatan – tidak banyak, sebatang tiang dan bendera Malaysia yang berkibaran megah sudah mencukupi.

*Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph. D) adalah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan seorang profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Russia.
*Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#bendera #Bukit Kayu Hitam #Danok #Jalur Gemilang #padang besar #sempadan #sempadan Malaysia #sempadan thailand
;