Hilangnya bahasa kita di ibu kota: Kolotkah kalau tidak bercitra tempatan?

Azura Halid
Januari 29, 2023 12:20 MYT
Salahkah kalau perkataan-perkataan ini dalam bahasa kebangsaan? Penggunaan bahasa Inggeris di tempat awam bukanlah lambang kita berada di zon antarabangsa atau puncak globalisasi. - Astro AWANI
PADA 24 Februari 2015, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar mewajibkan pengiklan dan agensi pengiklanan mendapatkan pengesahan bahasa Melayu yang baik dan betul daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebelum memberikan dan meluluskan lesen untuk menyiarkan iklan atau papan tanda atau papan premis perniagaan di tempat awam.
PBT diberikan tanggungjawab bagi memastikan pelaksanaan peruntukan bahasa melalui Undang-undang Kecil Iklan, Garis Panduan Papan Iklan dan Premis Perniagaan, Garis Panduan Papan Iklan Luar dan lain-lain.
Akta DBP (Pindaan dan Perluasan) 1995 tidak memberikan kuasa undang-undang kepada organisasi ini untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik dan betul.
Walau bagaimanapun badan perancangan bahasa ini boleh memberikan teguran, nasihat dan bimbingan tentang penggunaan bahasa Melayu yang juga bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang baik, betul dan indah.
Kerjasama antara PBT dengan DBP kelihatan longgar dari segi penguatkuasaan undang-undang kecil ini. Masih berleluasa penggunaan bahasa Inggeris di tempat-tempat awam yang tidak mencerminkan citra Malaysia kepada masyarakat setempat dan mancanegara.
Di ibu kota, bandar raya utama dan bandar-bandar besar masih kelihatan paparan bahasa Inggeris yang sewajarnya diberikan penjenamaan semula atau ditukar penggunaan bahasa Inggeris tersebut dengan istilah dalam bahasa Melayu.
Banyak istilah bahasa Inggeris yang terdapat dalam padanan bahasa Melayu yang boleh diguna pakai. Penggunaan bahasa Inggeris di tempat awam bukanlah lambang kita berada di zon antarabangsa atau puncak globalisasi.
Penggunaan istilah “uptown” dan “downtown” semakin hari semakin merebak di serata jagatraya. Menurut data ejaan DBP, istilah “uptown” dalam bidang geografi dan pelancongan merujuk pada “pinggir bandar” manakala istilah “downtown” merujuk pada “pusat bandar raya” atau “pusat bandar”.
Daripada pemerian ini, masyarakat Malaysia menggunakan istilah “uptown” untuk bazar yang terletak di pinggir bandar manakala bazar yang terletak di kawasan bandar dinamai dengan “downtown”.
Tidak ada sebab yang konkrit untuk menggunakan istila Inggeris jika dapatannya jelas wujud dalam bahasa kebangsaan. Malukah kita memberi penjenamaan semula terhadap “Damansara Uptown” menjadi “Pinggiran Damansara”? Berdosakah kita menterjemahkan “Downtown Parit Raja” menjadi “Bandaran Parit Raja”?
Pemilihan diksi yang tepat dan sesuai mampu menggantikan istilah asing untuk padanan bahasa Melayu yang indah bagi nama bangunan, tempat rekreasi, taman-taman dan kawasan perumahan. Alangkah indahnya jika Jonker Walk disebut dalam bahasa kebangsaan dengan nama Persiaran Jonker. Para pelancong tetap akan berkunjung juga kerana hanya ada satu Persiaran Jonker di bumi ini yang letaknya di negeri Melaka.
Adakah kita dipandang persis bangsa kayangan jika menggunakan Bukit Jalil Pavillion untuk memajukan ekonomi negara? Merudumkah nilai komersial produk tempatan jika nama tempat itu diubah menjadi Astaka Bukit Jalil? Tidak adakah pelancong yang akan datang ke Pendang Lake Resort jika namanya diberikan nafas tempatan menjadi Peranginan Danau Pendang? Kolotkah jika Bangsar Village bercitra tempatan dengan nama Desa Bangsar?
Jangan biarkan bahasa kita terabai di bumantara sendiri. Uar-uarkanlah pada seantero buana bahawa bahasa kebangsaan masih teguh leluhurnya. Sebagai dokumentasi, artikel ini mencadangkan beberapa paparan di tempat awam diberikan penambahbaikan nama yang baik, betul dan molek.
Orang awam boleh melayari saluran rasmi Khidmat Nasihat Bahasa DBP melalui pautan http://ptb.dbp.gov.my/nb_halaman_utama.aspx bagi menyelesaikan masalah dan kekeliruan yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan. Kerjasama erat antara PBT dan DBP mampu melestarikan panorama ibu kota dengan roman dan rona Malaysiana.
Sejarah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah menjadi lingua franca di Nusantara seawal abad ke-16 lagi. Para pedagang ketika itu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan dalam urusan perdagangan dan penyebaran ilmu. Ini membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu dan bahasa ekonomi.
Dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152 (1) jelas menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa jua tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen.
Maka tidak perlu bertolak ansur dalam memartabatkannya di tanah air sendiri, sebelum bahasa Melayu ini diangkat ke daulat yang lebih tinggi – mengantarabangsakannya sebagai bahasa ASEAN.

Artikel lain oleh Azura Halid:
BACA: Dirgahayu bahasa istana: Membentuk budaya masyarakat yang luhur
BACA: Subjek bahasa: Jangan pandang sebelah mata
BACA: Wara itu, wara ini... Mari berbicara tentang 'wara'...

* Azura Halid ialah seorang pencinta bahasa yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi berdasarkan bidang kerjaya penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#bahasa kebangsaan #Bahasa Melayu #istilah inggeris #wajah tempatan #Malaysia #azura halid
;