"Hilang pendapatan, ada yang datang mengadu kehabisan susu" - Ketua Masyarakat Orang Asli

Hasimi Muhamad
Julai 3, 2021 13:06 MYT
Norman (kiri) menyampaikan bantuan keperluan asas kepada Hussein untuk Orang Asli Kg Bukit Kala Batu 12, Gombak - Gambar Astro AWANI
GOMBAK: Ketika pelbagai inisiatif sedang digerakkan termasuk kempen mengibar bendera putih untuk membantu golongan yang dalam kesusahan susulan pandemik COVID-19, bantuan buat masyarakat Orang Asli juga tidak harus dipinggirkan.
Komuniti terbabit termasuk di Kampung Orang Asli Kg Bukit Kala Batu 12, Gombak antara yang terkesan selepas ada dalam kalangan mereka yang kehilangan sumber pendapatan dan hanya menanti bantuan untuk meringankan beban hidup.
Kunjungan Astro AWANI ke kampung tersebut pada Jumaat mendapati sekurang-kurangnya 10 keluarga yang terdiri daripada ibu tunggal, warga emas dan penganggur memerlukan bantuan bagi meneruskan kehidupan mereka.
Ketua Masyarakatnya, Hussein Ngah Yin, berkata keadaan menjadi semakin rumit sejak bulan Mei lalu selepas keluarga berkenaan didakwa tercicir bantuan yang disalurkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
"Saya terpaksa membantu mereka sebab saya ada kemudahan daripada Jabatan Agama yang menghulurkan sumbangan bantuan makanan kepada masyarakat.
"Ketika mereka terputus makanan terpaksa datang mengadu kepada saya dan memberikan sumbangan-sumbangan yang boleh meringankan beban mereka," katanya ketika ditemui, di sini.
Tambah pesara kerajaan itu lagi, kadang-kala dia terpaksa menggunakan elaun pencennya untuk membantu penduduk sekitar yang datang mengadu kehabisan keperluan asas.
"Kita tak mampu melihat kesusahan orang lain terutamanya bila mengadu susu anak dia (kehabisan), persekolahan anak, kehilangan sesuatu (pendapatan) dan terpaksa bantu apa yang kita mampu," jelasnya.
Namun, bapa kepada tujuh orang anak itu tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya berharap masyarakat sekeliling lebih peka dan tidak segan untuk memohon bantuan.
Hussein, 75, yang menetap di kampung itu sejak 50 tahun lalu berkata, platform media sosial seperti Facebook membantu dia untuk mendapatkan kemudahan bantuan bagi meringankan beban penduduk di kawasan tersebut.
"Saya suka tengok dalam YouTube dan Facebook, dan kemudahan-kemudahan ini banyak tetapi kita tidak ambil kesempatan dalam media sosial.
"Maka dengan itu banyaklah perkara-perkara yang terlepas... itu satu kelemahan bagi masyarakat Orang Asli walaupun hari ini mereka menggunakan media sosial tetapi kesempatan dan peluang ini mereka tidak ambil," ujar lagi.
Santuni komuniti Orang Asli
Hasil daripada dana sumbangan orang ramai ke tabung pendanaan awam (crowdfunding), Intelek Muda Nasional mengerakkan Bantuan Kasih PKP bagi membantu komuniti Orang Asli di Kampung Bukit Kala Batu 12.
Pengerusi Intelek Muda Nasional, Wilayah Persekutuan, Norman Mai berkata, inisiatif berkenaan yang diaktifkan sejak bulan lalu sebagai merancakkan lagi usaha membantu komuniti tersebut.
Jelasnya, program menyantuni komuniti Orang Asli di kampung itu bukan julung kali dijalankan, sebaliknya ia sudah digerakkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lagi.
"Selain task force untuk asnaf, kita juga ada cari keluarga-keluarga yang anak-anak mereka tercicir dari segi pendidikan. Kita juga sudah mulakan satu gerakan di mana kita membantu belia-belia untuk pendidikan dan menjana pendapatan.
"Kita harap juga dari segi infrastruktur ditambah baik lagi supaya anak-anak Orang Asli di sini tidak tercicir dari segi pendidikan dan pendapatan. Mungkin sekiranya ada peluang pekerjaan yang kita boleh bagi dan kongsikan kepada mereka, kita boleh gunakan," katanya ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada 25 keluarga Orang Asli di kampung berkenaan.
Mengulas lanjut, Norman, 26, berkata pihaknya mula menyalurkan bantuan di kawasan itu selepas menerima panggilan daripada salah seorang ahli keluarga komuniti Orang Asli di kampung berkenaan yang mengadu kehilangan punca pendapatan.
"Ketika dia hubungi kami, dia bagi nama kawan-kawannya (yang turut memerlukan bantuan). Jadi, kita sertakan sekali bantuan untuk mereka.
"Masa kita dapat panggilan itu pun terasa sayu sebab dia menangis, lampin pakai buang anaknya juga sudah habis... susu tiada. Jadi kita cuba sebaik mungkin untuk bantu," ujarnya.
Dalam masa yang sama, Norman menyeru mana-mana individu termasuk pihak berkaitan untuk lebih prihatin dan tampil menyalurkan bantuan secara lebih meluas kepada komuniti tersebut.
Selain menyantuni golongan asnaf dan komuniti yang terpinggir, Intelek Muda Nasional turut memberikan sokongan dari segi pendidikan dan kesihatan mental.
Mana-mana pihak yang mahu menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Intelek Muda Nasional.
#masyarakat Orang Asli #Orang Asli terpinggi #Orang Asli Batu 12 Gombak #hilang pekerjaan #Bantuan PKP 3 0 #Bantuan Kasih PKP #Intelek Muda Nasional #PKP 3 0 #MCO 3 0 #darurat #Covid-19 Malaysia #berita hari ini #COVID-19
;