Hilang ketika umrah, Pak Ibrahim akan dihantar pulang Rabu ini

Madiha Abdullah
Disember 11, 2022 21:23 MYT
Syed Nabil memaklumkan Pak Ibrahim kini dijaga oleh rakannya yang juga seorang mutawif.
KUALA LUMPUR: Jemaah umrah warga Malaysia, Ibrahim Omar atau Pak Ibrahim yang sebelum ini hilang di Mekah, berada dalam keadaan baik dan akan dihantar pulang ke Malaysia pada 14 Disember ini.
Hampir 10 hari hilang, Pak Ibrahim ditemui oleh seorang mutawif, Syed Nabil Athrash Syed Ahmad.
Kata Syed Nabil, pertemuan dengan Pak Ibrahim adalah sesuatu yang tidak disangka biarpun berita kehilangan jemaah berusia 67 tahun itu diketahuinya.
"Berita kehilangannya diketahui ramai warga Malaysia di sini, ramai yang berkongsi menerusi kiriman WhatsApp dan media sosial lain.
"Masing-masing sudah tahu, sudah saling berpesan, manalah tahu jika yang ternampak atau terserempak dengannya.
"Tetapi sekarang ini peak season, tidak jangka juga dalam ramai-ramai, saya akan bertemu dengannya," kata Syed Nabil ketika dihubungi Astro AWANI.
Pertemuan itu berlaku secara kebetulan ketika dia sedang menguruskan jemaah menaiki bas di sebuah lokasi berdekatan Misfalah, Mekah.
"Ada jemaah yang nampak Pak Ibrahim berjalan ke arah kami, jerit nama dia. Saya hampiri dan terus pimpin dia.
"Pak Ibrahim dalam keadaan baik semasa ditemui, cuma nampak sedikit kebingungan. Tetapi dia beritahu saya sepanjang sembilan hari, dia sentiasa dibantu dari segi makan dan minum, walaupun terpaksa tidur di tepi lorong, orang awam bagi selimut dan tilam.
"Dia tidak berada dalam keadaan lapar, cuma katanya dia menangis, sedih memikirkan keberadaannya, keluarga juga sudah pulang ke Malaysia.
"Kami beri dia makan dan minum, tetapi dia nampak tak kisah sangat tentang nak makan. Mungkin terlalu gembira kerana akhirnya dia ditemui dan dibantu," kata Syed Nabil lagi.
Jelasnya, Pak Ibrahim hilang selama beberapa hari di Jumaizah, sebuah lokasi yang jarang dikunjungi warga Malaysia.
"Kalau musim haji, ramai orang Malaysia ke kawasan itu. Tetapi sekarang bukan musim haji, jadi nak jumpa orang Malaysia di situ agak susah. Dia pula tidak boleh berbahasa Arab.
"Mungkin dalam tempoh itu, dia sendiri keliru, tak tahu nak buat apa dan nak minta tolong dengan siapa," ujar Syed Nabil sambil memaklumkan Pak Ibrahim kini dalam jagaan rakannya yang juga seorang mutawif.
Pak Ibrahim bertolak ke Makkah pada 26 November lalu dan sepatutnya pulang ke tanah air pada Jumaat, tetapi gagal dijejaki selepas enam hari tiba di Tanah Suci.
#Pak Ibrahim #hilang di Mekah #dihantar pulang #umrah
;