Hilang dari pusat jagaan: Kanak-kanak, remaja ditemukan di Melaka

Bernama
Julai 3, 2024 05:25 MYT
Polis berkata, hasil maklumat orang awam, ketiga-tiganya ditemukan berada dalam jagaan ibu saudara dan nenek seorang daripada mereka di sebuah rumah. - Gambar hiasan
SEREMBAN: Seorang kanak-kanak dan dua remaja perempuan yang dilaporkan hilang dari sebuah pusat jagaan anak-anak yatim di Kuala Pilah sejak Jumaat, ditemukan selamat di Melaka malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani berkata hasil maklumat orang awam, ketiga-tiganya ditemukan berada dalam jagaan ibu saudara dan nenek seorang daripada mereka di sebuah rumah.
"Kanak-kanak dan dua remaja itu berada dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan.
"Mereka bersama-sama dua wanita berusia 35 dan 67 tahun itu kemudian dibawa ke Balai Polis Simpang Bekoh, Jasin kira-kira 9 malam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kanak-kanak itu dan dua remaja berkenaan kemudian diserahkan semula kepada pihak pengurusan pusat jagaan terbabit.
Semalam, media melaporkan ketiga-tiga mereka yang berusia antara 11 hingga 14 tahun dilaporkan hilang dari sebuah pusat jagaan anak-anak yatim milik badan bukan kerajaan (NGO) dan laporan kehilangan dibuat oleh pusat jagaan tersebut pada hari sama.
-- BERNAMA
#Kanak-kanak #lari dari pusat jagaan #Kuala Pilah #selamat