Hilang bapa dan kakak dalam tempoh seminggu akibat COVID-19

Bernama
Julai 29, 2021 13:16 MYT
Menurut Azenira, selama ini dia hanya membaca dan menonton pengalaman sedih orang lain, namun tidak pernah terfikir perkara itu akan terjadi kepada ahli keluarganya sendiri. - Gambar fail/Bernama
KUALA TERENGGANU: Kehilangan dua anggota keluarga dalam tempoh seminggu akibat wabak COVID-19 adalah dugaan hebat buat Azenira Ali sekeluarga.
Azenira, 37, seorang suri rumah dari Felda Neram 2, Cheneh di Kemaman berkata selama ini beliau hanya membaca dan menonton pengalaman sedih orang lain, namun tidak pernah terfikir perkara itu akan terjadi kepada ahli keluarganya sendiri.
"Ayah saya, Ali Mohamad, 70, meninggal dunia pada hari raya pertama Aidiladha (20 Julai) manakala kakak kedua, Alinda Ali, 47, pula meninggal dunia Isnin lepas (26 Julai). Ia berlaku terlalu cepat dan sampai sekarang kami enam beradik masih trauma dengan kehilangan mereka akibat COVID-19," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Harapannya kini agar rakyat Terengganu tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan kerana hanya itu sahaja cara yang ada untuk mencegah penularan COVID-19.
"Bayangkan, rasa sedih dengan pemergian ayah belum reda, kami enam beradik terpaksa menerima hakikat kehilangan Alinda pula tanpa dapat mengucup kedua-dua mereka buat kali terakhir.
"Hanya van jenazah yang lalu di depan rumah, tanpa dapat kami menatap wajah dua insan tersayang. Cukuplah hanya kami yang melalui pengalaman ini kerana ia terlalu perit untuk dikenang," katanya.
Mengimbas kembali pemergian bapa dan kakaknya itu, Azenira berkata bapanya yang menghidap penyakit diabetes, darah tinggi dan jantung mengadu tidak sihat beberapa hari sebelum Aidiladha, dan menghembuskan nafas terakhir pada hari raya pertama tanpa sempat dibawa ke hospital.
"Pada hari yang sama juga Alinda mengalami pendarahan teruk di pangkal rahim dan dihantar ke Hospital Kemaman. Kakak disahkan positif COVID-19 ketika itu dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.
"Keputusan ujian calitan ayah diterima dua hari selepas meninggal dunia dan turut disahkan positif. Sejurus mendapat keputusan, pengebumian dibuat mengikut SOP COVID-19," katanya.
Azenira berkata bapanya tinggal bersama Alinda sekeluarga di Taman Sentosa, Bandar Cheneh Baru dan mula dikuarantin apabila suami Alinda menjadi kontak rapat rakan sekerja yang positif COVID-19.
Hasil dua ujian calitan terawal mendapati suami Alinda iaitu Saadon Abdul Rashid, 50, negatif wabak itu namun ujian calitan ketiga pada 18 Julai mendapati beliau positif COVID-19.
Saadon dan seorang anak perempuannya yang positif wabak itu baru sahaja menamatkan kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) semalam manakala tiga anak lelakinya disahkan negatif.
Azenira berkata ketika mula dimasukkan ke HSNZ, keadaan kakaknya agak teruk dan terpaksa memakai alat bantuan pernafasan selama beberapa hari sebelum dia kembali sihat.
"Kami sempat membuat panggilan video pada hari Sabtu dan ketika itu, kakak tidak lagi memerlukan alat bantuan pernafasan, tetapi ada mengadu rasa semput. Itu kali terakhir kakak menjawab panggilan dan mesej kami enam beradik," katanya yang telah kehilangan ibu pada 2018 akibat serangan jantung.
-- BERNAMA
#COVID-19 #kematian #wabak #jangkitan #Cheneh #Kemaman #azenira ali #kesihatan
;