'Hikmah Exchange buka peluang bumiputera miliki hartanah' - Najib
Wan Syamsul Amly
Mei 3, 2016 18:47 MYT
Mei 3, 2016 18:47 MYT
Projek Pembangunan Hikmah Exchange merupakan permulaan usaha kerajaan memastikan bumiputera memiliki hartanah terutama di kawasan strategik di bandar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia selari dengan hasrat untuk melihat bumiputera membangun bersama kaum lain.
Katanya, kerajaan sentiasa percaya pembangunan seimbang dan inklusif dapat mencapai keadilan sosial kepada masyarakat negara ini.
"Kalau kekayaan negara dimiliki satu golongan sahaja, apatah lagi majoriti bumiputera kini di mana kalau dikira dalam negara kita adalah 68 peratus bumiputera.
"Namun 25 tahun dulu kita ada 62 peratus bumiputera, dan kadar kelahiran bumiputera tinggi kita lihat kalau 68 peratus bumiputera dalam negara ada hartanah, ia masih terlalu kecil, maka tidak berlakulah keadilan," katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Hikmah Exchange di sini hari ini.
Kampung Bintangor disasar menjadi kampung pertama yang memiliki lembaga amanah yang sama seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang akan dibina di Bangunan Hikmah Exchange di kawasan tapak Bina MARA.
Bangunan itu kelak akan mempunyai 22 tingkat dengan dua menara pejabat dan satu pusat acara serta tempat parkir bertingkat.
Hab kewangan Islam itu akan menjadi ikon kampung tersebut, selain membuktikan penduduk di situ mempunyai pengetahuan dalam menguruskan dana mereka.
Dalam pada itu kata Najib, aset hartanah dan kompleks perniagaan yang dimiliki bumiputera hari ini masih dianggap terlalu kecil.
"Apakah langkah ke hadapan, apabila sampai generasi kedua dan ketiga, langkah seterusnya adalah mewujudkan dana dalam bentuk unit amanah hartanah," jelasnya.
Projek pembangunan di atas sebidang tanah seluas 1.4 hektar itu juga bakal menjadi tumpuan ekonomi di bandaraya Kuching sendiri.
Projek milik Yayasan Hartanah Bumiputera Sarawak (YHBS) itu akan dibangunkan oleh Permodalan Satok Berhad (PSB) dengan kerjasama Harakah Islamiah (Hikmah), Majlis Agama Islam Sarawak (MAIS), Pelita Holdings Sdn. Bhd. dan Faradale Development Sdn. Bhd.