Hijrah ruang kenal pasti kelemahan, terokai kekuatan baharu- Sultan Nazrin

Nazialita Geynna Maharan
September 22, 2017 12:19 MYT
SULTAN NAZRIN: "Hijrah hendaklah dijadikan contoh dalam memenuhi sesuatu misi dan sentiasa bersedia mencari formula baharu untuk mengatasi sebarang halangan dan tentangan." - Foto Bernama
Peristiwa Hijrah seharusnya menjadi pengajaran buat umat Islam agar bijak dalam mengenalpasti kelemahan sedia ada selain menerokai kekuatan ummah, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Titah baginda, Hijrah hendaklah dijadikan contoh dalam memenuhi sesuatu misi dan sentiasa bersedia mencari formula baharu untuk mengatasi sebarang halangan dan tentangan sekaligus bersedia menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baharu.
Titah baginda lagi, hijrah telah membangunkan tamadun Islam selama ini dan agama Islam berjaya berkembang maju berikutan keberanian umat Islam yang tidak gentar dalam melakukan perubahan dalam pelbagai aspek dan dimensi.
"Islam tidak akan berkembang jika ummahnya berjiwa hamba, berminda abdi, berfikiran fakir, berpandangan jumud. Islam berkembang dengan minda yang cerdas lagi cergas, dan fikiran yang luas lagi terbuka," titah baginda ketika merasmikan Sambutan Maal Hijrah 1439H/2017M peringkat negeri Perak di Dewan Shariff Pangkalan TLDM di sini ,pagi ini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris serta Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Majlis pada pagi itu dimulakan dengan bacaan suci ayat al-Quran yang dipimpin oleh johan tilawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Asisten Superitendan Mohd Sahran Termizi yang juga merangkap Ketua Balai Polis Sentral di IPD Ipoh.
Sultan Nazrin turut bertitah, berlaku enam perubahan penting sepanjang peristiwa Hijrah iaitu pertamanya perubahan nasib umat Islam daripada kumpulan kecil yang berada dalam ketakutan diancam musuh, kepada ummah yang menguasai kuasa serantau di bawah pemimpin berwibawa.
Titah baginda, perkara kedua adalah penyebaran Islam beralih daripada sekadar dilakukan kepada penduduk Arab Mekah yang sangat terbatas kepada penyebaran bersifat universal yang merentasi kaum dan wilayah.
"Yang ketiga, corak dakwah yang dilakukan secara tersembunyi - secara perseorangan, bertukar kepada kegiatan dakwah yang dilakukan secara terbuka – secara institusi, di bawah naungan sebuah pemerintahan," titahnya.
Sultan Nazrin bertitah perkara keempat ialah Islam berkembang daripada agama yang dianuti oleh sekumpulan kecil pengikut, kepada sebuah negara Islam yang didukung oleh pelbagai institusi dan organisasi.
"Kelima, status umat Islam berubah daripada keadaan lemah dan dihina kepada umat yang gagah lagi dihormati.
"Dan keenam, ajaran Islam tidak lagi berbentuk satu ritual ketuhanan, tetapi menjadi satu addin, satu budaya hidup yang diredai ILAHI, merangkumi politik, ekonomi, interaksi sosial, dan setiap lapangan kehidupan, meletakkan Islam sebagai agama yang komprehensif," titah baginda lagi.
Baginda turut menyentuh Hijrah telah memperlihatkan kehebatan Rasullullah SAW mengimbangkan peranan kepimpinan agama, kepimpinan politik dan kepimpinan tentera serta telah melakukan sebesar-besar pengorbanan dengan mendahulukan dan mengutamakan ummah.
Dalam majlis itu Bekas Ketua Hakim Mahkamah Syariah Perak Datuk Abdul Aziz Mohd Yusof dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah serta Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dinobatkan sebagai Tokoh ar-Ridzuan 1439.
#Abdul Aziz Mohd Yusof #hijrah #Maal Hijrah #Sultan Nazrin Shah #Sultan Perak
;