Hijrah atau Masihi: Sambutan tahun baru tak Islamik?
Hilal Azmi
Disember 31, 2017 22:00 MYT
Disember 31, 2017 22:00 MYT
Sempena sambutan tahun baru 2018, kewujudan pelampau agama yang terlalu mengagungkan perspektif ekstrem dilihat sebagai antara ancaman utama kepada keharmonian hidup di Malaysia.
Mana tidaknya, kumpulan ini selalunya cuba mengukur tahap Islam individu lain dengan hanya melihat gaya sambutan tahun baru.
Menurut pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Ramzah Dambul, perbuatan merendahkan sesama sendiri dalam hal remeh seperti sambutan tahun Masihi hanya mendatangkan persengketaan yang tidak perlu.
"Sebenarnya, kalau ada yang lebih suka guna kalendar Hijrah sebagai titik sambutan tahun baru, itu tiada masalah.
"Yang salahnya, bila secara terbuka mengindoktrinasi anutan peribadi itu sebagai paling Islamik. Kemudian mencerca pilihan orang lain.
"Faham tidak isunya di sini? Bukan soal apa pilihannya: Hijrah atau Masihi. Mana-mana pun okey.
"Tapi tentang sikap suka menghakimi kecenderungan orang lain, dalam keadaan dia sendiri tidak faham apa yang dihakiminya," katanya menerusi posting Facebook pada Ahad.
Katanya lagi, secara rohaninya, tahun Masihi menggunakan kelahiran Nabi Isa sebagai mercu rujukan.
"Tahun Hijrah pula berpasak pada peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad dari Mekah ke Madinah. Jadi, tiada kurang atau lebih Islam antara kedua-dua sistem kalendar memandangkan kedua-dua nabi ini dimuliakan dalam Al Quran," katanya.
Jelasnya, bukan itu sahaja, ia mengundang ketidakfahaman golongan pelampau agama mencerap kelebihan kedua-dua kalendar daripada konteks sains.
"Baik kalendar Hijrah (al-qamariah: berasaskan bulan) mahupun Masihi (as-syamsiah: berasaskan matahari), kedua-duanya ada manfaat praktikal yang tersendiri dari segi sains.
"Kalendar Hijrah berasaskan pusingan bulan mengelilingi bumi. Jadi kalendar ini memberi kita kedudukan relatif bulan setiap hari.
"Amat berguna untuk memahami jadual pasang-surut air laut. Dalam konteks aktiviti tani tradisional (komuniti Dusun misalnya), ia juga membantu mengenal hari paling sesuai menyemai benih.
"Kalendar Masihi pula berasaskan pusingan bumi mengorbit matahari. Jadi pentarikhan mengikut sistem as-syamsiah ini memberi kita jarak relatif bumi dari matahari.
"Ia penting untuk mengenal pertukaran empat musim di kedua-dua hemisfera utara dan selatan bumi; serta memahami transisi monsun di kawasan khatulistiwa dan tropika. Pengetahuan ini sangat berguna untuk pelayaran," jelasnya yang mempunyai kepakaran dalam bidang meteorologi dan geografi di Fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan, UMS.
Baginya, pemahaman ini penting terutamanya dalam konteks kepelbagaian kaum di Malaysia untuk memahami rahmat Tuhan yang telah digali sebagai ilmu oleh manusia.
Justeru itu, mengambil semangat tahun baru, beliau menggesa rakyat Malaysia untuk bebaskan diri daripada ketaksuban yang sia-sia.
"Ilmu wajib dipelajari dan dipraktik dalam hidup. Tidak kira siapa yang mengolahnya, asalkan ia membawa kebaikan dan tidak menyanggah akidah.
"Empayar Islam yang pernah megah suatu ketika dulu pun telah membina kegemilangan tamadun ilmunya dengan menggali warisan yang ditinggalkan oleh Greek dan Yunani (dalam pelbagai bidang termasuk astronomi, matematik, dan lain-lain).
"Meminjam kata-kata seorang pemimpin muda negara: 'Tak payah bajet suci sangat. Perkara yang mudah jangan disusah-susahkan.'
"Masih ada banyak kebejatan dan cabaran yang lebih penting untuk kita tangani di dunia ini.
"Betulkan keutamaan yang penting, barulah kita minda yang terbilang," katanya lagi.
#asal usul kalendar masihi
#ramzah dambul
#Tahun Baru 2018
#Tahun Baru Hijrah
#Tahun Baru Masihi
#Universiti Malaysia Sabah