Highland Towers: Pengindahan kawasan mampu ubah stigma masyarakat

Bernama
Disember 13, 2020 04:40 MYT
Tragedi Highland Towers pada 11 Dis 1993 menggemparkan negara, apabila satu daripada tiga blok kondominium yang terletak di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh, dan meragut 48 nyawa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Rancangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mengindahkan semula tapak kondominium Highland Towers dan menjadikannya sebagai tapak bersejarah, dilihat dapat mengubah stigma masyarakat yang menyifatkan kawasan itu sebagai kawasan menakutkan.
Presiden Persatuan Penduduk Taman Sri Ukay/Hill View Datuk Siti Hendon Chek berkata pihaknya mengalu-alukan rancangan tersebut, memandangkan kawasan dengan bangunan terbiar selama 27 tahun itu sebelum ini menjadi sarang penagih dadah, serta mengundang masalah sosial setempat.
"Jika sebelum ini kami hidup dalam keadaan kurang selesa, sekurang-kurangnya dengan berita (rancangan) ini, kami mampu menarik nafas lega sekiranya struktur bangunan itu diroboh dan dijadikan kawasan yang indah.
"Justeru, kami minta pihak lain tidak memperbesar perkara ini dan kerja-kerja meroboh bangunan dilakukan secepat mungkin, supaya kerja-kerja pengindahan kawasan dapat dijalankan," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Baru-baru ini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dilaporkan sebagai berkata, KPKT merancang untuk memberi nafas baharu di kawasan di Highland Towers dengan mengindahkan kawasan itu, sekali gus menjamin kesejahteraan penduduk sekitar kawasan itu.
Tragedi Highland Towers pada 11 Dis 1993 menggemparkan negara, apabila satu daripada tiga blok kondominium yang terletak di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh, dan meragut 48 nyawa.
-- BERNAMA
#Highland Towers #mengindahkan #Hendon Chek #KPKT #tapak bersejarah #Persatuan Penduduk Taman Sri Ukay Hill View #menakutkan #stigma
;