Highland Towers dirobohkan selewat-lewatnya Jun ini - Zuraida

Bernama
Mac 8, 2019 19:12 MYT
Kondominium Highland Towers yang terbiar lebih 25 tahun akan dirobohkan selewat-lewatnya Jun ini. -Twitter @GambarKlasik
Kondominium Highland Towers yang terbiar sejak lebih 25 tahun lepas akan dirobohkan selewat-lewatnya pada Jun ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Towers telah menyiapkan laporan kajian struktur kondominium itu dan akan memutuskan agensi yang akan menjalankan kerja-kerja perobohan tersebut, sama ada Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
"Agensi sedang dalam perbincangan, sama ada kedua-duanya terlibat atau antara MPAJ dan JKR, dari segi teknikal yang akan menjalankan tugas ini," katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia 2019 peringkat kementerian, di sini hari ini.
Zuraida berkata pihak pemaju Highland Towers juga telah menyuarakan hasrat untuk menyalurkan dana berjumlah RM2 juta bagi membiayai kerja perobohan tersebut.
Zuraida sebelum ini dilaporkan berkata Highland Towers akan dirobohkan pada Oktober 2018.
Bagaimanapun, ia terpaksa ditangguhkan bagi membolehkan Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Towers yang diPengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Mohammad Mantek, menjalankan kajian struktur bangunan tersebut dengan kerjasama JKR.
Pada Ogos 2018, Zuraida mencadangkan Highland Towers dibangunkan semula sebagai lokasi taman rekreasi.
Cadangan itu dibuat memandangkan struktur tanah di kawasan terbabit tidak sesuai untuk pembinaan perumahan.
Pada 11 Dis 1993, satu daripada tiga blok Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dalam tragedi yang meragut nyawa 48 orang.
#25 tahun #Highland Towers #JKR #Kondominium Highland Towers #Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan #MPAJ #Taman Hillview #Ulu Klang #Zuraida Kamaruddin
;