Hifi berada diambang kejayaan RLIR 2013

Bernama
Januari 11, 2013 11:49 MYT
Pasukan Hifi mahu memastikan trofi Cabaran Piala Perdana Menteri berada dalam genggaman apabila memulakan saingan dua perlumbaan terakhir pada edisi ke-11 Regata Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2013 di sini, esok.
Selepas lapan perlumbaan, pasukan Hong Kong itu menungguli carta kedudukan keseluruhan dengan 12 mata penalti, jauh meninggalkan pasukan senegara Jelik di tangga kedua dengan 24 mata.
Pada tiga perlumbaan hari ini, Hifi, yang dikemudikan oleh pelayar berpengalaman, Neil Pryde, muncul naib juara perlumbaan keenam, tempat ketiga pada perlumbaan ketujuh sebelum bangkit mengungguli perlumbaan kelapan.
Berikutan lima kemenangan daripada lapan perlumbaan, kedudukan HiFI sukar digugat oleh enam lagi pasukan dalam acara Racing itu dengan tumpuan kini terarah kepada perebutan tempat kedua.
Jelik, yang diketuai jurumudi Frank Pong, berjaya mencapai kemenangan pertama apabila menguasai perlumbaan keenam dan kini ketinggalan satu mata penalti daripada pencabar terdekat, Walawala 2 dari Singapura.
Walawala 2, yang dipimpin oleh pelayar Steve Manning, turut mencapai kemenangan sulung pada perlumbaan ketujuh dan peluang untuk muncul naib juara masih terbuka.
Dua wakil negara, pasukan Uranus dan Utarid masing-masing berada di tangga keempat dan kelima dengan mengumpul 32 dan 35 mata penalti.
Dalam pada itu, pasukan Jelik tetap optimis untuk sekurang-kurangnya muncul naib juara meskipun Pong terpaksa pulang ke Hong Kong hari ini kerana urusan kecemasan melibatkan ahli keluarganya.
Pong berkata beliau yakin pasukannya yang diterajui jurumudi kedua, Louis Perfectua, mampu mempamerkan persembahan terbaik seperti yang ditunjukkan pada perlumbaan pusingan keenam tadi.
"Jelik tidak akan memberi laluan mudah kepada mana-mana pasukan untuk memintas kedudukan kami. Saya yakin dengan kemampuan semua krew dan berharap nasib akan menyebelahi kami esok" katanya.
Sementara itu, jurumudi Walawala 2, Manning berkata, sasaran pasukannya adalah untuk mengatasi Jelik bagi meraih gelaran naib juara.
Jurumudi Uranus, Mohamad Razali Mansor pula berkata, dia tidak berpuas hati kerana pungutan mata semakin jarak dengan Walawala 2 apabila menamatkan saingan hari ini masing-masing di posisi keenam, kedua dan keempat.
Kedudukan keseluruhan selepas 8 perlumbaan
1. Hifi (HK) - Neil Pryde - 12 mata penalti
2. Jelik (HK) - FRank Pong - 24
3. Walawala 2 (SIN) - Steve Manning - 25
4. Uranus (MAS) - Mohamad Razali Mansor - 32
5. Utarid (MAS) - Ishak Jab - 35
6. Katsu (AUS) - Ben Copley - 42
7. Baby Tonga (AUS) - Peter Sorensen - 54 mata
#Regata Antarabangsa Diraja Langkawi