Hidup sihat: Kenapa perlu lari sepantas Azeem? Ukur baju di badan sendiri – Pakar

Irfan Faruqi
Julai 18, 2024 22:05 MYT
Mohd Firdaus berkata perkara yang paling penting untuk mencapai gaya hidup sihat adalah dengan beri tumpuan kepada keperluan peribadi. - Gambar hiasan/Pexels
KUALA LUMPUR: Tidak perlu letakkan sasaran mencapai keupayaan fizikal seperti atlet profesional.

Ringkasan AI
  • Fokus pada keperluan peribadi untuk gaya hidup sihat, bukan membandingkan dengan atlet profesional.
  • Motivasi individu penting dalam menetapkan sasaran kecergasan, seperti kekuatan untuk mengangkat anak atau naik tangga.
  • Mengurangkan temu janji dengan doktor kerana penyakit, sebaliknya bertemu untuk peningkatan kualiti penjagaan kesihatan diri.

Koordinator Program Sarjana Muda Pengurusan Sukan, Fakulti Sukan dan Sians Eksesais, Universiti Malaya, Dr. Mohd Firdaus Abdullah berkata, perkara yang paling penting untuk mencapai gaya hidup sihat adalah dengan beri tumpuan kepada keperluan peribadi, bukannya membandingkan diri dengan orang lain.
“Kekuatan bahagian atas tubuh adalah untuk dukung cucu atau anak, contohnya. Manakala kekuatan bahagian kaki pula untuk naik tangga. Kita ada motivasi kita tersendiri yang boleh ditetapkan, tanpa campur tangan orang lain.
“Contohnya, menetapkan sasaran untuk lari sepantas atlet balapan 100 meter, Muhammad Azeem Fahmi. Mampukah kita? Kenapa hendak bersaing dengan Azeem? Azeem sudah berlatih berapa lama?
“Hatta Usain Bolt perlu latihan selama empat tahun sebelum mampu tamatkan larian 100 meter dengan catatan masa 9.58 saat. Kita tidak mahu ikut kaedah yang sama. Tujuan kita adalah untuk sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Tambahnya, perkara yang perlu diberikan keutamaan bagi orang awam ialah mengurangkan temu janji dengan doktor selepas menghidap sebarang penyakit.
Sebaliknya, pertemuan dengan doktor perlu tertumpu kepada menambah baik mutu penjagaan kesihatan diri.
"Sekurang-kurangnya pertemuan tersebut terbatas kepada meminta nasihat untuk tambahbaik prestasi kesihatan. Bukannya berjumpa doktor selepas pembedahan,” ujarnya.
Hidup sihat: Kenapa perlu lari sepantas Azeem? Ukur baju di badan sendiri – Pakar
#hidup sihat #senaman #Malaysia sihat
;