Hidup perit dipaksa jadi 'scammer': Berpindah-pindah syarikat, diajar perdaya mangsa, kebajikan terabai

Aida Aziz
Ogos 3, 2022 18:07 MYT
Lee Kar Meng (tengah) menceritakan semula pengalaman perit sewaktu dipaksa menjadi scammer oleh sindiket di Kemboja, dalam sidang media khas di Pusat Penyelaras MCA Ipoh Barat, hari ini - Astro AWANI
IPOH: Pengalaman perit lebih setahun dipaksa bekerja sebagai scammer di Kemboja, menjadikan lelaki ini lebih berhati-hati dengan tawaran iklan kerja bergaji lumayan.
Mangsa sindiket scammer atau penipuan dalam talian, Lee Kar Meng, 32, berkongsi kisah sebenar kepada pemberita hari ini selepas dapat pulang semula ke Malaysia semalam.
Menurut Kar Meng yang berasal dari Ipoh, pada permulaannya dia diberitahu ada peluang kerja dengan gaji lumayan di negara berkenaan.
Bagaimanapun dia tidak menyangka kerja yang dimaksudkan ialah bekerja dengan sindiket dan membuat panggilan untuk menipu orang ramai.
"Januari tahun lalu saya sampai Kemboja, saya diberikan kerja (sebagai scammer). Tetapi mereka lihat saya tidak pandai lakukan kerja itu dan dipindahkan ke syarikat lain, namun kerja yang sama iaitu sebagai scammer.
"Berulang kali dipindahkan sehingga tujuh syarikat (scammer), tetapi semuanya beroperasi di tempat sama. Saya dan lain-lain pekerja perlu telefon orang dari negara China, Vietnam termasuk Malaysia.
"Kami diajar cara untuk buat kerja scammer dengan muat turun aplikasi seperti WeChat, Facebook dan Telegram. Seterusnya cari mangsa dengan berpura-pura menjadi kawan di media sosial.
"Lepas dapat kepercayaan, kita akan ajak mereka sertai peraduan atau jual produk. Bergantung kepada situasi dan kehendak sindiket," katanya.
Dia bercakap kepada pemberita pada sidang media khas di Pusat Penyelaras MCA Ipoh Barat di sini pada Rabu.
Hadir sama, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan serta bapa mangsa, Lee Joo Heng.
Katanya lagi, sepanjang dia bekerja di negara itu dia hanya menerima gaji hanya sekali iaitu sebanyak AS$600 (RM2,670).
Ditanya bagaimana dia boleh bergerak masuk ke Kemboja tahun lalu, dia menjelaskan agensi (sindiket) yang berkenaan membawa dia masuk secara tidak sah.
"Saya memang tiada pasport... ejen kata tak perlu. Pada mulanya, kawan yang cakap kalau ke sana boleh cari banyak duit. Tiba-tiba sampai sana, lain pula cerita... rupanya kerja scammer!
"Saya telah dibawa ke Johor Bahru dulu dengan kereta, di situ mereka kumpulkan orang lain. Selepas itu, kami bergerak ke sempadan Thailand, Sungai Golok dan masuk sampai Kemboja," katanya lagi.
Jelasnya lagi, dia berjaya melepaskan diri daripada sindiket berkenaan apabila dihalau dari tempat itu pada Mei lalu. Difahamkan, mereka khuatir aktiviti jenayah dihidu pihak berkuasa.
Semuanya bermula dengan sidang media yang diadakan dua bulan lalu oleh pihak MCA Perak, yang antara lain mendedahkan aktiviti serta gambar bangunan asrama di Kemboja yang menempatkan mangsa.
"Saya dihalau sehelai sepinggang, kemudian saya ke balai polis terdekat dan menceritakan hal sebenar kepada mereka.
"Setelah itu saya dihantar ke pihak imigresen dan saya 'duduk' di sana sampai 31 Julai. Akhirnya saya dihantar balik ke Malaysia pada 1 Ogos lalu," katanya.
Dalam pada itu, dia turut menitipkan pesanan kepada orang ramai supaya tidak terjebak dengan penipuan dan menjadi mangsa sama sepertinya.
"Kita pergi tempat orang tiada pasport memang salah. Saya menyesal dengan tindakan itu.
"Jangan cepat percaya dengan iklan scammer, saya pun dah ambil iktibar dengan apa yang terjadi," katanya lagi.
Sementara itu, Low Guo Nan berharap pihak polis Malaysia, Interpol dan Polis ASEAN dapat bekerjasama membanteras isu pemerdagangan manusia yang semakin serius.
"Jangan mudah terpedaya dengan iklan tawaran kerja di luar negara dengan gaji lumayan.
"Selain iklan di sosial media ada juga ejen yang bekerjasama dengan sindiket pemerdagangan manusia dengan melatih orang Malaysia kerja sebagai scammer di Kemboja, Myanmar dan Thailand," katanya.
#scammer #pemerdagangan manusia #tawaran kerja #Kemboja
;