'Hidup di Selangor keras' - Warga maya kongsi keluhan gangguan air berulang
Sinar Harian
Julai 24, 2024 15:40 MYT
Julai 24, 2024 15:40 MYT
SHAH ALAM: Gangguan air berulang disebabkan pencemaran sungai menyebabkan beberapa pengguna di Selangor meluahkan keluhan di media sosial.
Seorang pengguna Facebook, Simu Hasni, 40, berkata, hidup di Selangor 'keras' disebabkan permasalahan itu.
Ibu kepada dua anak itu turut menasihatkan mereka yang ingin berhijrah ke Selangor untuk membuat persiapan berdepan masalah berulang itu.
"Bermusafir malam-malam. Wilayah Shah Alam tak ada air, lari ke Sepang.
"Yang berhasrat mahu duduk di Selangor, siap sedia di rumah di wilayah berbeza. Hidup di Selangor keras dik," kongsinya di Facebook pada Selasa.
Berkongsi lanjut, dia yang tinggal di kawasan Seksyen 7, Shah Alam terpaksa pulang ke sebuah lagi rumahnya di Sepang disebabkan gangguan air.
"Pulang kerja sekitar jam 5 petang (Selasa), tengok rumah tak ada air. Mungkin ambil masa satu ke dua hari untuk pulih.
"Jadi lepas anak-anak pulang dari sekolah, kami ambil keputusan pulang ke Sepang untuk beberapa hari.
"Disebabkan gangguan bekalan air ini, anak terpaksa ponteng sekolah, mungkin pulang semula ke Shah Alam pada Khamis jika bekalan air kembali pulih," katanya.
Pengguna Facebook, Zam Rimau turut meluahkan rasa tidak puas hati susulan kekerapan gangguan air itu.
"Selalu sangat air tak ada...Apa lah Selangor ni asyik mengata Kelantan tak ada air rupanya tempat (Selangor) aku kerap tak ada air," luahnya.
Seorang lagi pengguna akaun Facebook, Opahputeri Megat berkata, gangguan air semakin kerap dirasakan kebelakangan ini.
"Rasa nak maki pun ada nasib baik ada sedia tong besar yang memang sentiasa disimpan air untuk kecemasan.
"Semasa zaman BN dulu tak pernah terjadi frequent (kekerapan gangguan air), kebelakangan kerap pula gangguan seperti ini.
"Nasib baik juga duduk kawasan 'high-rise', tangki besar dan ada tambahan tangki juga, jadi air masih ada tapi tak tahu sampai bila," kongsinya di Facebook.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Gombak mendapati kebanyakan kawasan di daerah itu mula mendapat bekalan air sejak pagi Rabu.
Seorang penduduk Kampung Kerdas, Shareza Sarmin, 44, berkata, bekalan air mulai disambung sekitar jam 4 pagi dan mulai stabil beberapa jam selepas itu.
"Mula tak ada air sekitar jam 5 petang Selasa dan ketika bangun pagi tadi sekitar jam 4 pagi air dah ada cuma masih dalam keadaan keruh.
"Pagi tadi anak-anak mandi untuk ke sekolah didapati air mulai pulih, " katanya.
Hal sama turut dikongsikan seorang penduduk di Taman Sri Gombak yang memaklumkan rumahnya telah menerima bekalan air sekitar jam 11 pagi.
Pada Selasa, Air Selangor memaklumkan empat Loji Rawatan Air (LRA) Selangor dihenti tugas berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah.
Setakat jam 9 malam Selasa, LRA terlibat telah mula beroperasi dan sehingga jam 9 pagi Rabu, status pemulihan bekalan telah mencapai 14.3 peratus.
Air Selangor memaklumkan, peratusan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas dijangka mencapai tahap 40 peratus pada jam 8 pagi Khamis diikuti dengan 90 peratus pada jam 8 malam hari sama.
Sementara waktu pemulihan penuh bagi kawasan yang terlibat adalah dijangka pada jam 8 pagi, Jumaat. - Sinar Harian