Hidup dalam kontena: Kebajikan anak yatim Ulin Nuha makin terbela

Astro Awani
Ogos 28, 2017 18:25 MYT
Pengerusi Rumah Penyayang Ulin Nuha, Nazilah Idris bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya SPANCO, Datuk Hamzah Mohd Salleh di dalam kontena, lokasi penginapan Rumah Penyayang Ulin Nuha.- Foto Astro AWANI
Nasib 35 penghuni Rumah Penyayang Ulin Nuha di Jalan Kebun yang terpaksa menjadikan kontena sebagai tempat berteduh kini lebih terbela dengan bantuan pelbagai pihak.
SPANCO Sdn. Bhd., syarikat fleet perkhidmatan kenderaan kerajaan antara yang tampil bagi membantu menghulurkan sumbangan RM500,000 bersamaan dengan 46 bulan kos operasi rumah berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hamzah Mohd Salleh berkata, program anak angkat itu melibatkan penyediaan tempat tinggal lebih selesa, keperluan asas dan persekitaran lebih kondusif bagi penghuni yang lebih dua tahun tinggal di situ.
“Melalui program anak angkat ni, SPANCO menyediakan peruntukan bulanan RM10,000 bagi menyediakan keperluan asas serta menampung perbelanjaan anak-anak Rumah penyayang Ulin Nuha,” katanya di sini, hari ini.
Program anak angkat ini bermula dengan gotong-royong kakitangan syarikat memulih dan menceriakan rumah perlindungan berkenaan.
Turut dilancarkan pada majlis sama ialah Tabung Pembinaan Bangunan Kekal Ulin Nuha.
Pengerusi Rumah Penyayang Ulin Nuha, Nazilah Idris berkata, pelancaran tabung itu bertujuan membiayai pembinaan dua bangunan asrama pelajar lelaki dan perempuan di sebuah tapak tanah yang telah diwakafkan pihak tertentu di Jalan Kebun.
“Buat masa ini, Rumah Penyayang Ulin Nuha masih belum berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana kami perlu memiliki bangunan kekal sebagai syarat kelayakan utama.
“Insya-Allah, pendaftaran rumah ini dengan JKM dalam proses dan dijangka selesai selepas siap pembinaan bangunan kekal yang dirancang,” katanya.
Rumah Penyayang Ulin Nuha pernah mendapat perhatian masyarakat berikutan penghuninya terpaksa mendiami dua kontena bersaiz 40 x 20 yang menempatkan 15 budak lelaki manakala lapan katil dua tingkat dalam kontena berkeluasan 60 x 20 bagi 20 kanak-kanak dan remaja perempuan.
Bagi yang sudi menderma, sumbangan boleh disalurkan ke Bank Islam Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Ulin Nuha melalui akaun Bank Islam 12074010067637.
#Hamzah Mohd Salleh #Kanak-kanak #Rumah Penyayang Ulin Nuha #SPANCO #yatim
;