Hidup 'bersama' COVID-19, Agenda AWANI jam 8.30 malam ini

Astro Awani
Julai 27, 2021 19:04 MYT
Andai kita terpaksa hidup bersama COVID-19, wajarkah untuk terus mempersalahkan sesiapa? - Foto Astro AWANI
Kuala Lumpur: Mesyuarat Khas Sidang Parlimen diteruskan untuk hari kedua.
Antara yang menjadi tumpuan hari ini adalah berkenaan pembatalan Ordinan Darurat, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Tengku Hamzah meminta tempat duduknya ditukar, serta hal-hal lain berkaitan usaha menangani pandemik.
Di luar Parlimen, rakyat terus melihat dan memerhatikan gerak geri dan tutur kata mereka di dalam Dewan.
Apa pun perbincangannya, hanya yang dimahukan adalah semua dapat sepakat untuk memperbaiki keadaan.
Begitupun ada juga yang melihat kita sudah gagal menangani keadaan dengan baik. Perangai sama masih dipamerkan, unsur-unsur penolakan masih dapat dirasakan berdasarkan gaya perbincangan dua hari ini.
Ketika kita tercungap-cungap menyelesaikan masalah di permukaan, puncanya tidak kita cari dan kendali. Kerana itu sampai bila-bila pun walau bila nanti keadaan mereda, masalah lama yang sama akan kembali terjadi.
Siapa yang perlu dipersalahkan? Ini bukan masanya untuk menuding jari. Andai wabak COVID-19 tidak mampu ditandingi, kita perlu belajar untuk hidup dengannya dan ia tidak boleh secara seorang diri.
Apa pun topiknya di dalam Dewan Rakyat, pokoknya tetap sama - mereka sebagai peneraju harus bersatu, barulah rakyat dapat yakin untuk bersama berganding bahu melawan musuh yang satu.
Agenda AWANI malam ini menampilkan Ahli Majlis Pemulihan Negara merangkap Penasihat Akhbar The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai; Pengasas Pergerakan RAPERA Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos; dan Pengarah Urusan Zubedy (M) Sdn. Bhd., Anas Zubedy.
Jam 8.30, hanya di saluran 501, astroawani.com dan platform media sosial Astro AWANI.
#Agenda Awani #Datuk Seri Wong Chun Wai #Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos #Anas Zubedy #COVID-19 #Dewan Rakyat #Mesyuarat Khas Parlimen
;