Hidap penyakit hati, remaja perlu dana RM160,000 untuk pembedahan
Kohilah Sekaran
September 26, 2017 14:24 MYT
September 26, 2017 14:24 MYT
Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang menderita akibat penyakit masalah hati, Autoimmune Sclerosing Cholangitis memerlukan dana untuk menjalani pemindahan hati di China.
Ayahnya, Suhaimi Mohd Lazim, 46, berkata anaknya Muhammad Amirul mengalami masalah kesihatan sejak usia dua tahun namun penyakitnya itu hanya disahkan setelah menerima rawatan dalam tempoh hampir 12 tahun.
Lebih menyedihkan, kesihatan Amirul semakin merosot sejak Mac lalu.
Mengikut pakar perubatan, Amirul perlu menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Renji di Shanghai dan rawatan selama dua hingga tiga bulan.
Amirul dan ibunya, Suzinorwati Baharuddin, 38, yang merupakan penderma hati bagi anaknya telah bertolak ke Shanghai pada 21 September lalu.
Menurut Suhaimi, mereka memerlukan dana sebanyak RM400,000 untuk pembedahan Amirul. Setakat ini, beliau berjaya mengumpul kira-kira RM240,000 dan memerlukan RM160,000 lagi.
Oleh itu, pasangan tersebut memohon bantuan daripada rakyat Malaysia untuk membantu mencukupkan dana bagi memudahkan urusan rawatan Amirul.
“Sebelum kesihatan anak saya disiarkan di media, kami sudah mengumpul RM200,000. Baru-baru ini, kami mendapat sumbangan sebanyak RM40,000.
“Kami memerlukan lebih kurang RM160,000 lagi,” kata Suhaimi kepada Astro AWANI menerusi mesej di aplikasi WhatsApp.
Tambah Suhaimi, pembedahan Amirul masih belum dijadualkan kerana doktor di Hospital Renji sedang melakukan beberapa pemeriksaan.
“Buat masa ini, doktor di Hospital Renji masih dalam proses mengulas rekod pesakit dan membuat beberapa prosedur sebelum pembedahan dilakukan.
“Berdasarkan maklumat yang saya peroleh, peratus untuk berjaya adalah tinggi," katanya.
Kepada mereka yang ingin membantu Amirul, anda boleh memberi sumbangan menerusi akaun Maybank:
Suzinorwati Baharuddin - 164762112214
Suhaimi Mohd Lazim -164098553961