Hidap Hydrocephalus, raya Olivia tidak semeriah kanak-kanak lain

Astro Awani
Julai 9, 2015 15:59 MYT
Kos perubatan adik Olivia lebih RM4,000 sebulan diperlukan. - Astro AWANI
Tiada lagi baju raya buat Olivia Maisara Naqiu Ariff.
Setahun menghidap penyakit Hydrocephalus, Olivia, 12 bulan, hanya terlantar selepas menjalalani pembedahan otak akibat lebihan cecair tahun lalu.
Bakal menyambut ulang tahun pertama 11 Julai ini, Olivia kini sedang mendapatkan rawatan homeopati di Setiawan, Perak.
Ibunya, Faten Mohd Yusuf bagaimanapun memberitahu, rawatan itu hanya dapat dilakukan sebulan sekali kerana masalah kewangan dan logistik.
"Sekarang ini kami cuba kaedah homeopati. Alhamdulillah, ada perubahan, cuma dari segi kos tu agak berat sikit.
"Sebab pusat homeopati tu bukan di Kluang tapi di Perak, cuma jika ada lebih sikit (wang) kami akan bawa sebulan dua kali, kalau takpun, sebulan sekali," katanya.
Jelas Faten, Olivia sepatutnya perlu kerap menerima rawatan terutamanya terapi fisio.
"Sepatutnya kena lebih kerap sebab ada fisio tapi kami boleh bawa dia (Olivia) sebulan sekali sahaja.
"Dari segi untuk menguruskan juga agak terbatas sebab dia asyik terbaring sahaja, kita nak mandikan dia semua terbataslah," ujarnya kepada Astro AWANI dirumahnya di Kluang.
Buat masa ini, keluarganya hanya menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitumal dari Majlis Agama Islam Johor untuk menampung kos rawatan Olivia.
Olivia memerlukan lebih RM4,000 sebulan untuk kos perubatan.
Dalam pada itu, persiapan Aidilfitri dibuat juga sekadar ada memandangkan Olivia turut mempunyai empat adik-beradik lain.
"Tahun ini tahun kedua raya bersama Olivia. Tahun lepas kami hanya buat ala kadar sahaja.
"Agak terbatas sikitlah sebab adik-beradik Olivia ni ramai, jadi dengan keadaan kos yang semakin tinggi sekarang, semua perbelanjaan pun terbatas," jelasnya lagi.
Bagi yang ingin membantu, boleh menyalurkan bantuan ke akaun CIMB milik ibunya, Faten Muhd Yusof - 7613065655.
#Faten Mohd Yusof #hydrocephalus #Olivia Maisara Naqiu Ariff
;