Hias dinding elemen komunis, pemilik restoran tampil beri keterangan
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 13, 2021 20:54 MYT
Januari 13, 2021 20:54 MYT
GEORGE TOWN: Pemilik restoran di Pulau Pinang yang mencetuskan kontroversi apabila memasang hiasan dinding memaparkan wajah pemimpin komunis tampil memberi keterangan kepada polis berhubung perkara itu hari ini.
Menurut peguam, Dev Kumaraendran, pasangan itu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di George Town pada Rabu selepas selesai menjalani tempoh kuarantin dan disahkan negatif COVID-19.
Dev berkata berdasarkan maklumat yang diperoleh dari anak guamnya, restoran di Pulau Tikus sudah empat tahun beroperasi manakala restoran di Icon City, Bukit Mertajam baru dua tahun beroperasi.
Kedua-duanya telah lama menggunakan hiasan dinding berkenaan dan mereka tidak berniat untuk mencetuskan sebarang propaganda.
Bagaimanapun pihaknya menyerahkan perkara tersebut kepada polis dan akan memberikan kerjasama penuh.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan pihaknya telah mengambil keterangan pemilik restoran berkenaan selepas tindakan mereka memasang hiasan dinding wajah pemimpin Komunis, Mau Tze Tong hari ini.
Pada 3 Januari lepas, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan
1966 kerana menerbitkan propaganda sebuah pertubuhan haram dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menerbit atau mengedarkan sebarang kenyataan, khabar angin atau laporan dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.
Ia selepas insiden sebuah restoran makanan menghiasi dinding dengan gambar wajah pemimpin Komunis, Mau Tze Tong tular di media sosial sekali gus mengundang kecaman warga net.