HFMD: PKD tentukan penutupan tadika, taska dan pusat asuhan - Khairy

Shuhada Abdul Kadir
Mei 14, 2022 10:19 MYT
Khairy (tiga, kiri) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di Kota, hari ini. - Foto BERNAMA
REMBAU: Arahan penutupan sementara tadika, taska dan pusat asuhan kanak-kanak susulan peningkatan kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) akan ditentukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penilaian awal akan dibuat oleh PKD sekiranya mengesan penularan wabak berkenaan sebelum mengeluarkan arahan penutupan.
Beliau berkata, ia susulan peningkatan mendadak kes berkenaan selepas sektor pendidikan kembali dibuka sepenuhnya.
“Kita akan kawal perkara ini melalui hebahan kepada orang ramai supaya mereka tahu titik panas atau hotspot HFMD, malah dalam MySejahtera pun kita boleh tengok di sekitar kita berapa banyak kes HFMD.
“(Kewajaran tutup?) Tengok pada protokol yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah, sekiranya wabak itu atau sekiranya keadaan memerlukan penutupan, keputusan itu akan dibuat diperingkat Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Rembau di Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim, di Kota, Rembau pada Sabtu.
BACA: Kes HFMD catat peningkatan mendadak, 28,957 kes di seluruh negara - Khairy
Mengulas lanjut, Khairy berkata, peningkatan mendadak dengan 28,957 kes direkodkan di seluruh negara setakat ini, berbanding hanya 4,239 kes pada sepanjang tahun lalu sudah dijangkakan.
Jelasnya, ia memandangkan pelbagai sektor telah dibuka termasuk sektor pendidikan berbanding tahun lalu yang menyaksikan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Justeru, beliau mengharapkan kerjasama semua pihak untuk memastikan premis mereka sentiasa berada dalam keadaan bersih dan peka terhadap penyakit endemik yang lain seperti demam denggi dan HFMD.
Ujarnya, masyarakat juga boleh menggunakan ciri yang ada pada MySejahtera untuk mengetahui jumlah kes di kawasan berhampiran masing-masing dan mengambil perhatian sekiranya mengesan angka kes luar biasa.
#HFMD #Pejabat Kesihatan Daerah #MySejahtera #Khairy Jamaluddin #Menteri Kesihatan