IPOH: Perak merekodkan 8,032 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dengan peningkatan sebanyak 39.2 kali ganda setakat Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata daripada jumlah berkenaan, 144 kes atau 1.9 peratus membabitkan remaja berumur 12 tahun ke atas.

Sementara 787 kes atau 10.5 peratus kes wabak berkenaan dikesan menjangkiti kumpulan kanak-kanak berumur antara 7 sehingga 12 tahun.

Jelas Mohd Akmal kanak-kanak berumur 6 tahun dan ke bawah masih berada dalam kumpulan kes tertinggi dengan 6,544 kes atau 87.5 peratus.

Walau bagaimanapun Mohd Akmal berkata ibu bapa dinasihatkan untuk tidak berasa panik untuk menghantar anak ke sekolah berikutan penularan wabak ke atas golongan berumur 12 tahun ke atas masih rendah.

“Saya menasihatkan agar ibu bapa sentiasa berhati-hati dan mengambil perhatian serius terhadap pada perkembangan penyakit HFMD.

“Walau bagaimanapun ibu bapa disaran untuk tidak panik daripada menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

“Ini kerana kes untuk golongan murid di sekolah masih tidak membimbangkan. Sebaliknya kes tertinggi direkodkan masih membabitkan kanak-kanak di bawah umur 6 tahun,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Bengkel Perbincangan Draf Pelan Community Based Kinta River Basin - Integrated River Basin Management (CBKRB-IRBM) di sini pada Khamis.

Dalam pada itu beliau memberitahu sebanyak 188 taska dan tadika telah ditutup susulan penularan wabak berkenaan di seluruh Perak.

“Susulan bilangan kes berkenaan sebanyak 188 taska dan tadika telah ditutup sama ada secara sukarela atau Aka Pencegahan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Bilangan penutupan tadika dan tadika yang tertinggi ialah di Manjung iaitu sebanyak 67 dan sementara 53 di Kinta,” jelas beliau.

Susulan itu, Mohd Akmal turut menasihatkan ibu agar sentiasa berwaspada dan melakukan pemantauan terhadap tahap kesihatan anak-anak mereka.

Menurut beliau sekiranya anak-anak dikesan mengalami simptom HFMD, ibu bapa diminta untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah sebaliknya segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

Pada Selasa sejumlah 82,846 kes HFMD direkodkan hingga hari terakhir minggu epidemiologi (ME) 22/2022 (4 Jun) yang menyaksikan peningkatan sebanyak 32 kali ganda berbanding 2,485 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata jika dibandingkan jumlah kes sebanyak 30,489 bagi tempoh sama pada 2019 iaitu sebelum pandemik COVID-19, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 1.7 kali ganda.

Berkenaan bengkel hari ini, Mohd Akmal berkata ia antara lain bagi membincangkan pelan draf CBKRB-IRBM yang sedang dibangunkan oleh Global Environment Centre (GEC) bersama agensi kerajaan serta pihak berkepentingan lain dibawah projek.

“CBKRB-IRBM ini merupakan sebuah dokumen rujukan bagi membantu pihak-pihak berkepentingan dan badan-badan profesional dalam pengurusan lembangan sungai melalui penyertaan komuniti setempat berdasarkan pendekatan kerjasama pintar antara semua pihak,” jelas Mohd Akmal.