HFMD: Pasar raya, pusat beli-belah P. Pinang diarah lakukan kerja disinfeksi

Astro Awani
Julai 24, 2018 21:56 MYT
Troli di pasar raya didapati antara punca penularan jangkitan penyakit HFMD di Pulau Pinang. - Gambar hiasan
Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mengarahkan pasar raya dan pusat membeli-belah supaya melakukan kerja disinfeksi (sucihama) terhadap troli, alat permainan dan bangku yang terdapat di premis mereka.
Arahan tersebut dikeluarkan susulan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin, berkata arahan dikeluarkan selepas jabatan terbabit melakukan pemeriksaan dan mendapati alatan berkenaan adalah antara punca penularan penyakit itu.
Justeru beliau berharap pemilik dan operator premis berkenaan mematuhi arahan yang telah dikeluarkan.
"Bukan sahaja troli tetapi juga tempat permainan kanak-kanak yang ada di dalam premis, ini pun boleh terdedah kepada jangkitan HFMD. Sebab itu kita sarankan kepada pengusaha dan pemilik untuk membersihkan premis perniagaan mereka," katanya selepas satu sesi makan durian bersama pengamal media Pulau Pinang di Relau, Bayan Lepas pada Selasa.
Dalam masa sama, Dr Afif menasihatkan ibu bapa sekiranya terdapat ahli keluarga yang dijangkiti penyakit HFMD, mereka perlu dikuarantin di rumah selepas mendapat rawatan dan nasihat doktor.
Sementara itu, mengulas mengenai status terkini HFMD di negeri itu, beliau memaklumkan terdapat pertambahan kes pada Ahad dan Isnin sebanyak 128 kes, menjadikan jumlah terkini sebanyak 2,559 kes berbanding 1,102 bagi tempoh sama tahun lepas.
Buat masa ini, 13 pesakit masih dirawat di Hospital Pulau Pinang, Hospital Seberang Jaya dan sebuah hospital swasta namun keadaan mereka dilaporkan stabil.
Ketika ini, 23 premis masih ditutup akibat penularan penyakit itu membabitkan sekolah rendah, taska, tadika, pusat jagaan dan pra-sekolah.
Antara sekolah dan kelas yang masih ditutup, SK Juara, SJKC Moh Ghee Pusat, SJKC Beng Teik Pusat dan SJKC Kwang Hwa.
Sebelum ini, Dr Afif berkata tiada polisi untuk JKNPP menutup tempat permainan awam di dalam pasar raya dan pusat membeli-belah mahupun di taman awam yang menyediakan kemudahan tersebut.
Bagaimanapun, pihaknya menggalakkan operator di premis berkenaan membuat pembersihan berkala bagi memastikan peralatan permainan sentiasa berada dalam keadaan bersih.
#Dr Afif Bahardin #HFMD #Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang #JKNPP #pasar raya #troli
;