HFMD: Kes meningkat 32 kali ganda bagi ME 22/2022 berbanding 2021

Astro Awani
Jun 7, 2022 11:00 MYT
Kes dilaporkan di seluruh negara bagi ME22/2022 sahaja adalah 16,954 kes, menurun sebanyak 9.3 peratus berbanding ME 21/2022 iaitu 18,688 kes. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Terdapat peningkatan 32 kali ganda bagi penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) bagi minggu epidemiologi (ME) 22/2022 pada 4 Jun.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan mingguan, sejumlah 82,846 kes telah dilaporkan, berbanding tempoh sama tahun 2021, iaitu 2,485 kes.
Manakala berbanding pada tahun 2019 (sebelum pandemik COVID-19), 30,489 kes bagi tempoh yang sama pada tahun itu dengan peningkatan sebanyak 1.7 kali ganda bagi ME 22/2022.
Sementara itu, kes dilaporkan di seluruh negara bagi ME22/2022 sahaja adalah 16,954 kes, menurun sebanyak 9.3 peratus berbanding ME 21/2022 iaitu 18,688 kes.
Sehingga 4 Jun 2022, negeri Selangor menyumbang jumlah kes tertinggi berbanding negeri-negeri lain, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Perak, Kelantan dan Johor.
Kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah iaitu sebanyak 74,841 kes (90%), diikuti kumpulan umur 7 hingga 12 tahun seramai 6,520 kes (8%).
Manakala selebihnya berumur lebih 12 tahun iaitu seramai 1,485 kes (2%).
#Dr Noor Hisham Abdullah #Kanak-kanak #HFMD #penyakit tangan kaki dan mulut
;