HFMD: Kes di Sabah meningkat 111 peratus, kes kumulatif kini 3,351
Eleanor Michelle Patrick
Mei 24, 2022 12:34 MYT
Mei 24, 2022 12:34 MYT
KOTA KINABALU: Sabah terus mencatatkan tren peningkatan penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) sehingga 111 peratus bersamaan 702 kes bagi tempoh 15 hingga 21 Mei ini, berbanding 333 kes pada minggu epidemiologi ke-19.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, ini membawa kumulatif kes HFMD yang dilaporkan di negeri ini kepada 3,351 kes.
Menurutnya, ini merupakan peningkatan yang sangat tinggi, dibandingkan dengan 63 kes yang dilaporkan dalam tempoh masa yang sama pada tahun 2021.
Namun, katanya, setakat ini, tidak ada kes kematian yang disebabkan oleh HFMD dilaporkan di negeri Sabah.
"Lima daerah yang melaporkan kes tertinggi adalah Tawau (541 kes), Sandakan (451 kes), Lahad Datu (325 kes), Papar (309 kes) dan Kota Belud (269 kes).
"Majoriti iaitu 93.2% kes adalah kanak-kanak yang berumur dari 6 tahun dan ke bawah.
"Transmisi jangkitan majoritinya berlaku di rumah persendirian atau pusat-pusat pendidikan awal," katanya dalam satu kenyataan media, pada Selasa.
Rose Nani berkata, JKNS turut mengadakan sesi 'townhall meeting' bersama agensi-agensi berkaitan serta pengusaha-pengusaha pusat pendidikan awal seperti taska, tadika dan tabika, bertujuan untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran mengenai penyakit HFMD.
"Saringan setiap hari terhadap kanak-kanak sebelum masuk samada ke taska, tadika dan tabika dilaksanakan oleh pengusaha pusat tersebut.
"Kanak kanak yang mempunyai gejala penyakit HFMD akan diasingkan dirumah mereka, ini adalah langkah pencegahan perebakan penyakit HFMD di peringkat awal,"
Selain daripada itu, beliau berkata, aktiviti kawalan seperti promosi langkah langkah mencuci tangan yang betul dan disinfeksi fasiliti yang terlibat turut dilaksanakan.
Dalam pada itu, Rose Nani berkata, walaupun terdapat peningkatan kes dan wabak HFMD di Sabah, situasinya masih terkawal.
"Peranan orang awam adalah amat penting dalam usaha untuk membendung kejadian penyakit HFMD.
"Semasa musim perayaan seperti Pesta Kaamatan yang bakal tiba, orang awam dinasihatkan untuk terus melaksanakan tindakan pencegahan dengan mengelakkan dari bersentuhan, amalkan kerap mencuci tangan dengan sabun dan menjaga kebersihan diri," katanya lagi.